LISBON – Pengendali RB Leipzig, Julian Nagelsmann mengakui, Paris Saint-Germain (PSG) berhak layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas pasukannya tewas 0-3 pada separuh akhir di Stadium Da Luz awal pagi semalam.
Meskipun gagal melangkah ke pentas final, namun kelab Bundesliga itu sudah mengejutkan banyak pihak musim ini apabila berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Atletico Madrid sebelum ini.
Beliau berkata, corak permainan PSG lebih baik sepanjang perlawanan itu walaupun Leipzig konsisten dengan melancarkan banyak serangan balas pantas ke arah kubu lawan tersebut.
“Saya fikir PSG memang berhak untuk mara ke perlawanan akhir kerana mereka menampilkan aksi yang lebih baik. Kami bermain baik dalam tempoh 12 minit pertama tetapi kurang tajam di hadapan gol.
“Kami memerlukan tempoh lima minit untuk kembali dalam permainan selepas mereka menjaringkan gol pertama.
“Bagaimanapun, kami berdepan kesukaran untuk menandingi PSG kerana mereka dapat menampilkan aksi yang lebih berkualiti,” kata Nagelsmann.
Justeru, jurulatih muda berusia 33 tahun itu berharap barisan pemainnya dapat menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka meskipun ia bukan sesuatu yang mudah selepas berjaya melangkah jauh sehingga ke peringkat separuh akhir.
“Memang kecewa kerana sudah sampai ke tahap ini tetapi kami perlu menerimanya dengan hati terbuka. Inilah bola sepak, kalah dan menang adalah perkara biasa,” ujarnya. – AGENSI