JAKARTA – Sebuah klinik yang diserbu kerana menjalankan kegiatan menggugurkan janin secara haram di Jakarta Tengah dipercayai meraih untung bersih kira-kira 70 juta rupiah (RM19,830) sebulan, lapor portal berita Tempo.
Ketua Pengarah Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta, Komisioner Tubagus Ade Hidayat berkata, hasil keuntungan itu dibahagi kepada tiga golongan penerima di klinik berkenaan.
“Untung dibahagi kepada 40 peratus untuk kakitangan perubatan, 40 peratus lagi kepada broker dan 20 peratus bagi pengurus,” katanya di Jabatan Polis Wilayah Jakarta kelmarin.
Klink tersebut terletak di Jalan Raden Saleh I, Pusat Komersial Senen di Jakarta Tengah di Indonesia.
Tubagus berkata, hasil pemeriksaan di klinik itu pad 3 Ogos lalu membawa kepada penemuan wang tunai 51 juta rupiah (RM14,389). Wang itu dipercayai hasil untung aktiviti pengguguran haram bulan lalu disimpan dalam satu sampul surat.
Beliau menyatakan klinik itu sudah beroperasi selama lima tahun. Berdasarkan rekod pesakit dari Januari 2019 hingga 10 April lalu, klinik itu menjalankan khidmat pengguguran janin terhadap 2,638 pelanggan.
“Secara purata, mereka menerima antara lima hingga tujuh pelanggan sehari,” katanya.
Kos menggugurkan kandungan berbeza mengikut usia kandungan. Bagi janin berumur enam hingga tujuh minggu, caj dikenakan ialah 1.5 hingga 2 juta rupiah (RM420 hingga RM564).
Bayaran untuk menggugurkan janin berusia lapan hingga 10 minggu pula adalah 3 juta hingga 3.5 juta rupiah (RM853 hingga RM995) dan 7 juta hingga 9 juta rupiah (RM1,975 hingga RM2,540) bagi kandungan 15 hingga 20 minggu.
Seramai 17 suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti haram terbabit iaitu enam kakitangan perubatan termasuk tiga doktor, seorang bidan dan dua jururawat.
Empat individu yang merupakan pengurus klinik dan empat broker lain turut ditahan. Tiga lagi suspek ialah mereka yang melakukan pengguguran janin. – AGENSI