Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) telah menghantar surat kepada pengasas D’Herbs Holdings (M) Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bagi mempelawa jutawan kosmetik tersebut untuk berunding berhubung hasratnya membeli atau menaja pasukan Helang Merah.
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau sudah menandatangani surat itu untuk dihantar kepada Aliff Syukri minggu lalu.
Menurutnya, langkah itu menunjukkan keseriusan KFA untuk berunding supaya apa yang dinyatakan tidak hanya menjadi tajuk di dada akhbar semata-mata.
“Kita mahu runding betul-betul dan ingin mengetahui apa bentuk perjanjian yang dimahukan. Jika beliau mahu datang secara sukarela kita ucapkan Alhamdulillah.
“Jika beliau mahukan sesuatu yang boleh kita beri, kita usahakan tetapi kalau yang diminta itu sesuatu yang tidak boleh diberikan, kita berhenti setakat itu sajalah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setari semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan pengasas syarikat kosmetik terkenal itu berminat untuk membeli pasukan Kedah sekali gus menjadi pemilik penuh skuad Helang Merah seperti syarat penswastaan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada semua pasukan sebelum ini.
Pada tahun 2016, Aliff pernah dikaitkan untuk menaja pasukan sama, namun perbincangan antara kedua-dua belah pihak menemui jalan buntu.
Muhammad Sanusi berkata, pada masa sama pihaknya turut berjumpa dengan ramai pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.
“Ada yang positif dan ada yang senyap begitu saja tetapi kita akan tetap teruskan perjuangan memantapkan pasukan ini,” katanya.