Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KUALA LANGAT – Kegiatan warga Myanmar membuka kedai runcit dipercayai sejak enam bulan lalu di Olak Lempit di sini berakhir selepas diserbu Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kelmarin.
Bagaimanapaun dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu tiada tangkapan dilakukan selepas warga asing itu menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim berkata, serbuan itu hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap aktiviti kedai runcit oleh warga asing di kawasan kebun itu.
Katanya, kedai tersebut menjadi pilihan kepada warga-warga asing di kawasan pedalaman di situ bagi mendapatkan barangan keperluan.
Difahamkan, warga Myanmar membina kedai runcit selepas menyewa tapak itu daripada pemilik tanah persendirian.
“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai barangan kedai runcit termasuk tong gas.
“Kesemua barangan dan premis itu kemudiannya disita oleh MPKL,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Amirul menambah pihaknya kini bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat bagi mengesan pemilik tanah itu akibat salah guna tanah.
Jelas beliau, pihaknya tegas dalam membasmi perniagaan warga asing selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Selangor tidak memberi lesen kepada mereka untuk berniaga di negeri ini. -K! ONLINE