KAPTEN pasukan Terengganu FC (TFC I), Lee Andrew Tuck mahu rakan-rakan sepasukannya memulakan saingan Liga Super dengan langkah kanan menjelang pertemuan menentang Petaling Jaya City (PJ City FC) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya Sabtu ini.
Sebagai rekod, saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali minggu ini selepas lebih lima bulan digantung susulan pandemik Covid-19 dengan tirai rasmi dibuka pada 28 Ogos ini.
Kata Lee Tuck, rakan-rakan sepasukan kini sudah berada pada tahap kecergasan terbaik untuk kembali beraksi secara kompetitif selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Kami sangat gembira dengan apa yang jurulatih aturkan sepanjang bulan ini dan kami mengharungi beberapa aksi persahabatan kompetitif sehingga dapat membantu pemain mendapatkan kembali kecergasan setelah lama berehat.
“Barisan pemain kini fokus sepenuhnya untuk mengharungi aksi bertemu PJ City FC yang saya percaya memiliki kualiti tersendiri. Ia bukan tugas mudah tetapi kami percaya boleh meraih keputusan positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu sudah mengharungi tiga aksi persahabatan sebelum ini dengan meraih kemenangan ke atas Kelantan United (1-0) dan Kelantan (2-0) sebelum tewas 0-2 kepada Selangor minggu lalu.
Difahamkan, semua pemain utama skuad Penyu itu tidak mempunyai masalah untuk diturunkan kecuali pemain import dari Singapura, Faris Ramli yang masih dalam tempoh kuarantin selepas pulang ke Malaysia minggu lepas.
Aksi TFC I menentang PJ City FC sepatutnya diadakan pada Februari lepas tetapi ditunda kerana kegagalan kelab berpangkalan di Lembah Klang itu untuk menyediakan venue perlawanan.