Oleh Ivan Amirul
KOTA KINABALU – Dua wanita berusia 20 dan 29 tahun ditahan dalam serbuan di pekan Inanam semalam berikutan dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah jenis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penahanan dua wanita terbabit adalah hasil risikan dan maklumat awam berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, modus operandi digunakan adalah dua wanita ini menjadi perantara sindiket untuk mendapat pelanggan atau pembeli.
“Hasil pemeriksaan polis menjumpai 24 straw berisi syabu yang dianggarkan bernilai RM621 berdasarkan harga pasaran.
“Mereka disyaki menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar pekan Inanam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkam hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.
Menurut beliau, suspek juga berdepan hukuman sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Habibi berkata, kejayaan tangkapan kali ini membantu pihak polis mengenal pasti serta mengambil tindakan ke atas ahli sindiket pengedaran dadah di daerah Kota Kinabalu.
“Usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan kesejahteraan dan ketenteraman orang sekitar bandar raya serta kawasan berhampiran,” katanya. – K! ONLINE