KUALA NERUS – Pengusaha-pengusaha resort di Pulau Redang turut mengambil bahagian menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dengan mengambil inisiatif menghiasi premis mereka dengan tema patriotik.
Pengurus Redang Pelangi Resort, Teng Thing Thing berkata, selain pemasangan Jalur Gemilang, resort tersebut turut dihiasi dengan dekorasi membangkitkan nasionalisme dalam kalangan pengunjung.
“Pekerja kami akan melakukan formasi khusus bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 selain persembahan bunga api pada malam ambang Merdeka.
“Semuanya akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Pengurus Besar Sari Pacifica Beach Resort Redang, Ganny Del Rahim berkata, lobi dan kafe resort tersebut pula dipasang dengan lagu-lagu patriotik dan Melayu Asli bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini sangat istimewa buat pengusaha-pengusaha resort di Pulau Redang kerana bakal meraikannya dengan hampir seratus peratus pengunjung tempatan.
“Bagi saya, ini mungkin hikmahnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tanpa pelancong asing, semua resort di pulau ini kini dipenuhi dengan pengunjung tempatan.
“Senario ini sukar dilihat sebelum ini kerana biasanya semua resort di Pulau Redang akan dipenuhi pelancong asing khususnya dari Eropah dan China yang bercuti musim panas sepanjang bulan Ogos,” katanya. – K! ONLINE