fbpx

Mahkamah tolak permohonan SPRM lucut RM188,138 dari SUPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucutkan RM188,138.26 yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disita dari Sarawak United People Parti (SUPP).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati SPRM tidak mempunyai bukti kukuh dalam permohonannya untuk melucutkan wang tersebut.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahir berkata, berdasarkan keseimbangan dan kebarangkalian, SPRM gagal membuktikan syarat di bawah Seksyen 56, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (AMLATFPUAA) untuk sejumlah RM188,138.26 dalam akaun SUPP dilucutkan.

“Dalam keadaan ini, saya dengan ini menolak permohonan tersebut,” katanya.

Sementara itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Abdul Rashid Sulaiman berkata, pihaknya akan mengemukakan notis rayuan terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding itu, SUPP diwakili oleh peguam Michael Chow.

Pada bulan Jun tahun lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengatakan bahawa SPRM telah mengemukakan saman pelucutan sivil terhadap 41 responden untuk melucutkan kira-kira RM270 juta yang didakwa ada kaitan dengan skandal dana 1MDB dan diterima oleh responden dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain SUPP, entiti lain yang terlibat dengan RM270 juta itu ialah bahagian-bahagian UMNO, Parti Rakyat Bersatu Sabah, MCA, Parti Liberal Demokratik, Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia serta beberapa yayasan dan syarikat. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI