KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah merampas dan menyita lebih seribu botol arak di dua kedai berbeza yang menjual arak tanpa lesen yang sah semalam.
MPS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, rampasan tersebut dilakukan dalam satu serbuan yang dijalankan oleh anggota penguatkuasa dan keselamatan MPS di Taman Seri Gombak malam semalam.
“Hasil pemeriksaan didapati, selain tiada lesen perniagaan yang sah dan terkini, sebahagian botol arak yang dirampas juga tidak mempunyai kebenaran import daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia selain dokumen kelulusan dari pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan.
“Tindakan sitaan yang dibuat adalah mengikut Undang Undang Kecil 3(1) Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, operasi tersebut diketuai oleh tiga orang Penolong Pegawai Penguatkuasa dan 19 orang anggota.
” MPS memberi amaran kepada semua agar memastikan sebarang perniagaan yang hendak dijalankan haruslah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengelakkan tindakan dikenakan,” katanya.
Dalam operasi berasingan, dua restoran di Taman Selayang Jaya yang menjadikan kawasan kaki lima dan parkir kereta sebagai tempat letak meja dan kerusi pelanggan mereka telah dikenakan tindakan sitaan.
Dalam operasi yang dijalankan, sebanyak 32 unit meja dan 97 kerusi plastik telah disita di restoran yang pertama dan lima unit meja dan 36 kerusi plastik di restoran yang kedua.
Tindakan sitaan yang dikenakan ke atas pemilik restoran dibuat selaras Sekyen 46(1)d Akta Parit dan Bangunan 1974 tamat pada jam 11 malam membabitkan tiga orang Penolong Pegawai Penguatkuasa dan 19 orang anggota.
MPS akan terus melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pemilik restoran yang melakukan kesalahan sama. – K! ONLINE