fbpx

Peserta BS2020 rendah kualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESERTA BIG STAGE 2020

Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, program realiti Big Stage dilihat sebagai satu platform terbaik untuk melonjakkan nama artis baharu tanah air.

Bagaimanapun, memasuki musim ketiga penganjuran untuk tahun ini, Big Stage 2020 (BS2020) berdepan dengan cabaran yang tidak pernah wujud dalam mana-mana rancangan siaran langsung terdahulu.

Harus diakui, pihak produksi telah mengambil langkah berani apabila tetap meneruskan rencana BS2020 meskipun situasi pandemik Covid-19 belum pulih dan kita semua masih tertakluk dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

SERAMAI 12 peserta yang akan meneruskan perjuangan ke minggu kedua ialah Hanie Soraya, Nana Sheme, Sandra Dianne, Farisha Iris, Usop, Yamani Abdillah, Azzam Sham, Hafiz Zainal, Dinie Rashid, Qody Rany, Fadh Majid dan Amir Hassan. – FARIZ RUSADIO

 

Malam Ahad lalu, buat pertama kalinya BS2020 bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan kehadiran hanya 200 orang penonton yang lengkap berpelitup muka sebagai mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tiada lagi keriuhan dan laungan peminat berteriak untuk peserta kesayangan, bahkan kedudukan para penonton juga diasingkan mengikut penjarakan fizikal.

Janggal, itulah aura yang menyelubungi dewan persembahan. Namun apa yang lebih menyedihkan ialah perasaan tatkala menyaksikan nyanyian 12 peserta di pentas pertandingan.

“Saya sebenarnya sangat kecewa dengan semua peserta malam ini. Anda semua seperti tidak serius dalam bertanding, sekadar menyanyi sahaja.

“Ini adalah sebuah pertandingan dan anda semua dipilih dengan teliti. Jangan main-main, kalau anda malas tiada platform yang boleh bantu mengembangkan kerjaya seni anda semua,” tegur salah seorang juri tetap, Faizal Tahir dalam sidang akhbar sebaik konsert minggu pertama tamat.

SALAH seorang juri tetap, Dayang Nurfaizah (dua dari kiri) memberitahu tiada satu pun persembahan peserta yang memberikan impak kepadanya pada konsert minggu pertama BS2020, Ahad lalu.

 

Ironi, teguran sebegitu datang daripada Faizal yang pada malam tersebut memberikan julat markah agak tinggi dan konsisten buat semua peserta.

Menurut pelantun Mahakarya Cinta itu, pendekatan pemarkahannya agak longgar memandangkan baru konsert minggu pertama.

Namun Faizal memberi amaran, jika tiada perubahan yang lebih baik dibuat pada konsert akan datang, dia tidak akan berlembut lagi.

Jika Faizal memilih untuk berkongsi perasaan selepas tamatnya konsert, berlainan pula pendekatan yang diambil oleh seorang lagi juri tetap iaitu Faizal Maas atau Ajai.

Jujur dan berterus-terang, itu pilihan Ajai untuk menegur peserta sebaik sahaja mereka selesai menyampaikan lagu tugasan.

Lebih dramatrik, Ajai mencipta sedikit kekecohan apabila bertindak memberikan hanya 2/100 markah kepada salah seorang peserta, Hafiz Zainal.

Tidak cukup dengan itu, bekas anggota kumpulan Exists itu secara berseloroh menyuruh Hafiz berpura-pura pengsan daripada meneruskan nyanyian yang sumbang.

Tindakan Ajai menjadi buah mulut bahkan turut dikecam dalam media sosial.

AJAI memberikan penjelasan lanjut kepada Hafiz, peserta yang mendapat markah paling rendah dalam sejarah penganjuran Big Stage sejak dua musim lalu iaitu 2/100.

 

Fasa penyesuaian

“Semua peserta perlu disedarkan bahawa BS2020 sebuah pertandingan nyanyian dan saya anggap mereka semua penyanyi profesional kerana masing-masing sudah ada single.

“Orang boleh kecam mendakwa komen saya kejam dan keterlaluan tetapi jika saya tidak beritahu peserta hakikat sebenar, sampai bila-bila pun budak-budak ini akan berasa nyanyian mereka sudah cukup sempurna,” terangnya panjang lebar.

Mengulas situasi minggu pertama konsert BS2020 secara keseluruhan, Pengurusan Saluran Astro Ria, Emmarina Mohd Kamal mengakui, permulaan edisi kali ini terumbang-ambing.

Kaku

Sebagai stesen yang telah menganjurkan banyak program secara langsung, Emmarina memohon peminat memberikan sedikit ruang untuk peserta menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan yang canggung tanpa audiens.

Tidak meletakkan semua kesalahan di bahu peserta, Emmarina memahami perasaan mereka yang membuat persembahan di hadapan penonton yang memakai pelitup muka, sekali gus respons penerimaan juga sukar dirasai.

“Saya rasa jika penyanyi profesional membuat konsert dan peminat yang datang hanya 200 orang, mereka juga akan terkesan dari segi mood dan penyampaian. Suasana dalam dewan juga agak kaku kerana semua orang masih tidak biasa menikmati konsert seperti menghadiri seminar.

HAFIZ ‘diminta’ pengsan sahaja daripada terus menyanyi dengan nada sumbang.

 

“Ini kali pertama program secara langsung dianjurkan mengikut SOP, jadi pihak produksi akan mengambil semua kritikan sebagai cabaran besar,” tuturnya.

Biarpun begitu, Emmarina sempat mengingatkan setiap peserta agar tidak mengulang sikap sambil lewa pada minggu-minggu akan datang. Pihak stesen juga tidak akan teragak-agak membuat dua atau tiga penyingkiran sekali gus.

“Big Stage satu jenama besar dan kami mahu mengekalkan kualiti juara nanti. Jangan sia-siakan peluang ini kerana ramai lagi yang menanti untuk berada di tempat anda sekarang,” tegasnya.

 

JUARA Vokal Bukan Sekadar Rupa 2, Usop turut bertanding sebagai peserta BS2020.

 

Konklusinya, situasi yang berlaku dalam BS2020 ialah sebahagian daripada norma baharu dalam penerbitan program hiburan akan datang.

Bagi mana-mana penyanyi yang berhasrat menyertai program seumpama ini, siapkan diri anda dengan norma baharu. Tanamkan dalam minda bahawa ini adalah pertandingan nyanyian dan bukan bersandarkan populariti.

Jangan gunakan ketiadaan penonton sebagai alasan tidak boleh menghayati persembahan, kerana pada akhirnya, markah ditentukan juri dan teriakan peminat hanya bonus semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI