MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) bakal mengadakan satu bengkel bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bagi mendapatkan maklum balas berhubung penyertaan atlet muda pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2021.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kriteria pemilihan atlet ke Sukan SEA dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini sebelum jawatankuasa pemilihan ditubuhkan.
Tambah beliau, pihaknya juga sedia mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperhalusi kriteria pemilihan atlet ke Sukan SEA ke-31 nanti.
“Kami akan melakukan penilaian terhadap semua aspek berhubung pemilihan ke Sukan SEA kali ini. Draf pemilihan akan siap hujung tahun ini dan persatuan ada masa enam bulan untuk siapkan atlet.
“Sebelum ini, kriteria yang ditetapkan adalah atlet perlu berada dalam kedudukan tiga teratas pada Sukan SEA terdahulu atau pemenang pada Sukma (Sukan Malaysia).
“Bagaimanapun, semuanya akan dibincangkan lebih teliti nanti. Sebagai contoh, jika Shalin (Zulkifli) mahu kembali beraksi, sudah tentu dia mampu memenangi pingat, jadi kita akan buat penilaian berhubung kriteria pemilihan,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Sementara itu, Mohamad Norza memberitahu, keputusan rayuan terhadap 18 sukan baharu yang ingin dimasukkan ke dalam Sukan SEA pada tahun depan bakal diketahui November nanti.
Sebanyak 11 daripada 18 sukan yang dikemukakan itu adalah datang dari kem Malaysia, manakala tujuh lagi merupakan permohonan dari negara-negara lain.
“Keputusan mungkin akan diketahui November depan, namun ia juga bergantung kepada kemampuan tuan rumah sama ada mampu atau tidak untuk menganjurkannya,” ujarnya lagi.