KUALA LUMPUR – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan surat amaran kepada 24 premis kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Amaran tersebut dikeluarkan dalam operasi pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan yang dilakukan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan Mac lalu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam operasi itu juga penguat kuasa KPDNHEP turut memberi nasihat kepada 24 pemilik premis lagi atas kesalahan yang sama.
“Dalam operasi yang dilakukan semalam, sebanyak 776 premis perniagaan melibatkan 569 peruncit, 178 pemborong dan 29 pengilang telah dipantau bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan 12 jenis barangan terkawal.
“Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,406 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,358 premis mematuhi SOP ditetapkan, manakala 24 premis diberi nasihat dan 24 lagi diberi amaran,” katanya melalui satu kenyataan akhbar hari ini. -K! ONLINE.