Ciri kesempurnaan yang dimiliki aktor Bollywood, Sushant Singh Rajput itu sudah cukup untuk membuka mata masyarakat untuk menilai kehidupan bahagia yang dilaluinya.
Namun, ketika hayatnya, peminat tidak mengetahui bahawa Sushant berperang dengan ‘kesakitan’ jiwa biarpun dilihat sentiasa tersenyum sehinggalah dia ditemui mati di rumahnya di Bandra, India akibat membunuh diri pada Jun lalu.
Sebenarnya masalah dalaman yang dialami Sushant turut berlaku dalam masyarakat kita, namun jarang dikesan dengan mata kasar kerana kebanyakan pesakit enggan bercerita atau luahan mereka tidak diendahkan.
Selain isu tekanan perasaan yang sering diberi perhatian, masalah anxiety juga antara perkara yang perlu dipandang serius kerana masalah itu dilihat mempunyai kaitan besar dengan gaya hidup masyarakat kini yang mementingkan kesempurnaan hidup, kerjaya dan gaya hidup.
Beberapa selebriti terkemuka dunia lain turut tidak imun daripada menjadi mangsa serangan anxiety seperti Oprah Winfrey, Zayn Malik, Lady Gaga dan Adelle, manakala kalangan artis tempatan yang pernah mengalami isu sama ialah Remy Ishak, Haqem Rusli dan Tasha Shilla.
Perunding psikiatri Hospital Pantai Sungai Petani, Dr. Mohammad Farris Iman Leong Abdullah berkata, anxiety merupakan perkara normal di mana seseorang itu berasa gelisah atau risau apabila menghadapi sesuatu situasi yang membawa kepada stres, namun menjadi penyakit apabila ianya berlebihan.
“Apa yang dikatakan abnormal adalah penyakit keresahan (anxiety disorder) iaitu apabila keresahan yang dialami melebihi apa yang ditanggung oleh seseorang.
“Bagi pesakit yang menghidap penyakit keresahan menyeluruh (generalizaed anxiety disorder), mereka akan mengalami keresahan yang keterlaluan dan tidak terkawal dalam pelbagai aspek kehidupan seperti dialami pesakit penyakit panik,” katanya.
Menurutnya, risiko seseorang untuk penghidap penyakit anxiety bertindak di luar kawalan seperti membunuh diri adalah kurang, namun sekiranya individu mempunyai masalah itu bersama penyakit afektif (perasaan) seperti kemurungan atau bipolar, maka risiko untuk melakukan tindakan sedemikian akan meningkat.
“Bagaimanapun penyakit keresahan (anxiety) bersama kemurungan (depresi) adalah agak kerap berlaku dalam kalangan pesakit,” katanya lagi.
Menurut Mohammad Faris, selain dengan ubatan, penghidap anxiety boleh dirawat melalui psikoterapi terutamanya kaedah terapi kelakuan kognitif.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan, Dr. Mansor Ramli yang pernah diserang anxiety berkata, beliau menggunakan pengalamannya berdepan penyakit itu bagi membantu pesakit mengawal perasaan dengan kaedah semula jadi.
“Kita kena segera ubah fikiran kepada perkara lain, jangan cuba selesaikan anxiety kita, fokus dan sibukkan diri kepada sesuatu perkara atau aktiviti yang disukai, sentiasa bersedia bahawa anxiety akan menyerang pada bila-bila masa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Facebook mendapati kumpulan komuniti Anxiety Disorder Malaysia (OFFICIAL) menunjukkan angka lebih 13,000 ahli ketika ini dan kumpulan Gastrik Gerd Dan Anxiety Malaysia mempunyai lebih 35,000 ahli yang secara tidak langsung menggambarkan bahawa komuniti berkenaan semakin bertambah.