PEMAIN perseorangan lelaki muda negara, Leong Jun Hao akhirnya mendedahkan punca kekalahannya kepada Ng Tze Yong pada perlawanan akhir Divisyen 1 Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin.
Pada aksi final yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara itu, Tze Yong meleburkan hasrat Jun Hao untuk memenangi kejohanan dalaman tersebut.
Jun Hao berkata, dia gagal menampilkan aksi sebenar kerana bermain dalam keadaan sakit selepas mengalami sedikit kecederaan pada pinggul ketika menentang Liew Daren pada perlawanan sulung.
“Sebenarnya, sebelum perlawanan akhir lagi memang saya sudah rasa sakit pada pinggul. Ia sudah berlarutan beberapa hari kerana saya cedera ketika bertemu Daren.
“Disebabkan itu, ia memang membataskan pergerakan serta permainan saya pada perlawanan semalam (kelmarin). Tiada apa yang boleh diceritakan mengenai perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, juara remaja Asia 2017 itu tetap berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.
Pencapaian Jun Hao pada kejohanan itu boleh dianggap membanggakan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Divisyen 1 biarpun bermula dalam saingan Divisyen 2.
“Secara keseluruhan, memang saya puas hati dengan aksi yang ditampilkan sejak saingan Divisyen 2 hingga ke perlawanan akhir semalam (kelmarin),” ujarnya.
Sebagai rekod, kejohanan itu menyaksikan tiga pemain senior termasuk perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soong Joo Ven terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan.