Oleh IVAN AMIRUL
MEMBAKUT – Empat keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah didiami mereka di Kampung Lumantak, Jalan Bambangan musnah dalam kebakaran hari ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.47 pagi.
“Sebuah jentera bersama 14 anggota dan pegawai sudah diarahkan ke lokasi kebakaran untuk operasi memadam kebakaran.
“Kebakaran melibatkan empat rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 743 meter persegi yang musnah 100 peratus.
“Bagaimanapun kecekapan anggota bertugas berjaya menyelamatkan tiga rumah yang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal sekitar pukul 8.32 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Punca sebenar kebakaran serta nilai keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi selepas pemeriksaan akhir memdapati tiada lagi punca api yang boleh mencetus bahaya kebakaran,” katanya. – K! ONLINE