fbpx

K2

Daripada gelanggang akademik ke pejabat mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI Dr. Luqman, pelantikannya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan adalah satu amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin demi kemaslahatan ummah

KUNJUNGAN Kosmo! ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya petang Jumaat lalu disambut mesra oleh Mufti Wilayah Persekutuan kelapan, Dr. Luqman Abdullah.

Tidak semena-mena, perasaan kagum mula menjentik diri. Mana tidaknya, dalam kesibukan beliau menggalas tugas baharu yang diamanahkan, Dr. Luqman masih sempat meluangkan sedikit masa dan mengalu-alukan kedatangan kami ke pejabatnya.

Melihatkan raut wajahnya yang tenang dan bait-bait kata yang berhemah serta tersusun kemas keluar daripada mulutnya, tidak hairanlah mengapa beliau dipilih menjadi Mufti Wilayah Persekutuan kelapan.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Dr. Luqman merupakan calon yang paling tepat untuk duduk di kerusi tersebut.

Sambil mempersilakan kami duduk, Dr. Luqman membetulkan kopiah yang dipakai.

“Tidak pernah terfikir, saya akan menjadi Mufti Wilayah Persekutuan suatu hari nanti. Malah tugas ini langsung tiada dalam perkembangan kerjaya yang saya bayangkan.

“Bagaimanapun sebaik menerima amanah ini, saya anggap ia sebagai satu penghargaan dan pengalaman baharu untuk diterokai. Jika dahulu, saya lebih banyak menguruskan hal-hal berkaitan akademik, kini pula lebih kepada fatwa.

“Biarpun begitu, kedua-duanya masih lagi berkait rapat antara satu sama lain,” tuturnya sopan memulakan bicara.

 

DR. LUQMAN (kiri) dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Dr. Zulkifli baru-baru ini.

 

Dr. Luqman yang merupakan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa 15 Mei lalu.

Pelantikan tersebut dibuat bagi menggantikan Mufti Wilayah Persekutuan terdahulu, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 9 Mac lalu.

Selain bergelar Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di Akademi Pengajian Islam, UM, beliau juga merupakan Pengerusi Madrasah Ar- Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Biarpun begitu sebaik ditauliahkan sebagai Mufti Persekutuan yang baharu, beliau terpaksa berehat seketika daripada melaksanakan tugas-tugasnya di UM bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Anak ulama terkenal

Melihatkan riak wajahnya yang begitu tenang, kami pasti ramai yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Mana tidaknya, beliau bukanlah seorang selebriti yang kisah hidupnya sebelum ini terpampang di mana-mana media cetak mahu pun elektronik.

Tatkala ditebak soalan berkaitan sisi peribadinya, Dr. Luqman terdiam seketika. Biarpun akui tidak berapa gemar membicarakan soal peribadi, namun demi pembaca setia Kosmo! beliau tetap berkongsi serba sedikit kisah hidupnya.

“Saya bukanlah siapa-siapa. Sebagai tenaga pengajar dan juga Pengerusi Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, hidup saya banyak dihabiskan dengan buku dan pelajar.

“Usah kata media sosial, Facebook dan Twitter sendiri pun saya tiada. Disebabkan itu juga memang agak sukar mana-mana individu mahu mencari profil saya di internet.

“Bagaimanapun sejak bergelar Mufti beberapa bulan lalu, barulah saya mempunyai media sosial. Itu pun Facebook Rasmi Pejabat Mufti. Kalau Facebook personal memang tiada,” selorohnya penuh sopan.

 

DR. LUQMAN masih memegang jawatan Pengerusi kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tupah di Pasir Mas, Kelantan.

 

Dilahirkan di Kelantan tanggal 12 September 1969, bapa kepada lima orang cahaya mata yang berusia 51 tahun ini merupakan anak kepada seorang ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman.

Sejak kecil, Dr. Luqman mendapat bimbingan pendidikan agama menerusi Allahyarham bapanya.

Biarpun akui membesar sebagai salah seorang pelajar di sekolah pondok, beliau akui tetap mengikuti pendidikan secara formal di sekolah Sekolah Kebangsaaan Lemal, Pasir Mas pada 1976 hingga 1980.

Beliau kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Pasir Mas dari 1981 hingga 1986 sebelum melanjutkan Pengajian Asasi di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri dari 1987 hingga 1989.

Pada tahun 1989 hingga 1993, beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam, UM.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di Universiti Edinburgh, Scotland hingga 2005 dalam bidang Undang-Undang Harta Islam.

“Selepas pemergian bapa pada tahun 2008, saya mula mengambil alih dan menguruskan legasi peninggalan keluarga. Saya dilantik sebagai Pengerusi di Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah sehingga ke hari ini.

“Atas sebab itu juga, saya sering berulang-alik ke sana. Setakat ini, pondok tersebut mempunyai 20 tenaga pengajar dan 400 orang pelajar,” ceritanya lagi.

Wawasan 2025

Selain menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad, beliau juga aktif dalam pembentangan kertas kerja forum-forum dan seminar sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam bidang persoalan wakaf, zakat, usul fiqh dan pengajian tradisional.

Lebih menarik apabila beliau telah menulis lebih 70 artikel ilmiah sepanjang menjadi tenaga pengajar.

“Sebagai tenaga pengajar, kita memang kena banyak menulis artikel-artikel ilmiah sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

“Mahu dikatakan hobi, tidak juga kerana ia lebih kepada kerja rasmi. Pun begitu, menulis sudah begitu sebati dalam jiwa saya,” jawabnya ringkas.

Tatkala ditanya mengenai mengenai perubahan yang ingin dibawakan sebaik menerajui Pejabat Mufti di Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman dengan pantas menjawab tidak banyak yang ingin diubahnya.

 

SIKAP mesra dan senang berurusan menjadikan Dr. Luqman sentiasa disenangi ramai.

 

Sebaliknya, dia akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Datuk Dr. Zulkifli memandangkan legasinya yang terdahulu sudah cukup sempurna dari pandangan matanya.

“Kebetulan ketika saya dilantik sebagai mufti, pihak pengurusan tertinggi juga adalah orang-orang baharu. Jadi, mungkin ada sedikit penambahbaikan dan perubahan yang akan dilakukan satu hari nanti.

“Bagaimanapun, setakat ini saya akan kekalkan semua yang ada kerana saya lihat legasi yang ditinggalkan oleh mantan Mufti sangat cemerlang dan beliau juga telah berjaya membawa nama fatwa mufti ke satu tahap yang sangat tinggi.

“Malah sebelum ini juga pejabat mufti mempunyai wawasan yang mana mereka mahu Pejabat Mufti dikenali di peringkat antarabangsa menjelang 2025. Saya sahut wawasan tersebut sebagai satu cabaran dan akan teruskannya sehingga ia berjaya dicapai,” jelasnya.

Sebelum menutup bicara bersama Kosmo!, beliau bersungguh-sungguh menegaskan akan melaksanakan amanat yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

“Perkhidmatan di pejabat mufti yang sedia ada akan diteruskan seperti biasa dan saya mohon sokongan daripada semua agensi kerajaan supaya setiap tugas dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan masyarakat dan hukum-hakam Islam,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI