KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui rindu untuk turun padang bersama skuad Harimau Malaya selepas ketiadaan aksi di peringkat antarabangsa akibat pandemik Covid-19 tahun ini.
Cheng Hoe juga percaya, para pemain skuad kebangsaan pasti merasai perasaan sama sepertinya selepas sudah hampir setahun tidak dipanggil ke kem latihan pusat, namun perkara itu tidak dapat dielakkan demi keselamatan semua pihak.
“Dari segi pemain, memang mereka sudah agak lama tidak beraksi dalam kejohanan atau perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa.
“Saya dapat rasakan bahawa pemain-pemain juga tidak sabar dan menunggu untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsa. Mereka (pemain) juga mahu tunjukkan peningkatan, begitu
juga saya.
“Sebagai jurulatih, saya juga mahu melihat peningkatan dari tahun lalu ke tahun ini tetapi disebabkan Covid-19, kita kena akur.
“Menerusi sesi latihan, kita dapat tengok prestasi pemain dan saya sendiri juga mahu menilai diri sendiri kerana sebagai jurulatih, banyak lagi perlu belajar,” katanya.
Sejak pengendali dari Kedah itu memimpin pasukan pada Disember 2017, peningkatan demi peningkatan dapat dilihat terutamanya melibatkan ranking pasukan negara daripada kedudukan ke-175 dunia kini melonjak ke tangga ke-154 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Selain itu, kejayaan muncul naib juara Piala AFF pada 2018 serta prestasi cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan Malaysia kini di tempat kedua dalam Kumpulan G menghadirkan sedikit harapan untuk layak ke pusingan berikutnya.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi adalah pada November tahun lalu dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan pasukan negara berjaya meraih enam mata hasil kemenangan 2-1 dan 2-0 ke atas Thailand serta Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.