PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilihat tidak berputus asa dan bersemangat untuk meneruskan perlumbaan pada hujung minggu ini meskipun berdepan kecederaan selepas terlibat dalam insiden ngeri ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin.
Pada perlumbaan kelas Moto2 tersebut, Hafizh dilihat sedang memecut laju dan tidak dapat mengelak jentera pelumba Italtrans Racing, Enea Bastianini yang terjatuh di tengah litar.
Hafizh dilihat tercampak beberapa meter dan menyebabkan kedua-dua jentera bersepai di tengah Litar Red Bull Ring.
Pelumba kelahiran Ampang, Selangor tersebut bernasib baik apabila beberapa pelumba lain sempat mengelak dan tidak melanggar Hafizh.
“Saya gembira apabila tidak mengalami kecederaan serius pada anggota badan saya tetapi kemalangan itu sangat teruk. Ketika itu saya masih merasa sakit pada kedua-dua belah kaki terutamanya kaki kiri.
“Ketika ini saya terpaksa menggunakan tongkat kerana saya masih tidak mampu untuk berdiri dengan baik.
“Saya harap mampu pulih secepat mungkin dan dapat menyertai perlumbaan pada hujung minggu ini bagi GP Styrian,” kata Hafizh.
Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali bersyukur kerana pelumba berusia 26 tahun itu dalam keadaan baik dan mampu pulih cepat untuk meneruskan perlumbaan akan datang.
“Bagi saya ia merupakan insiden ngeri dan saya tarik nafas lega apabila mengetahui Hafizh dalam keadaan baik. Saya harap Hafizh terus berehat dan tidak patah semangat untuk meneruskan perlumbaan akan datang,” ujarnya.
Perlumbaan seterusnya ialah GP Styrian dijadualkan diadakan di litar sama hujung minggu ini.