KEHILANGAN ibu tercinta ternyata memberi kesan mendalam buat Nor Hirdayah Mohd. Nor, 31.
Dalam fasa pemulihan kehilangan insan tersayang, wanita itu diuji sekali lagi oleh Maha Pencipta.
“Lima bulan selepas ibu dijemput Ilahi, adik kedua saya, Mohd. Lukman, 28, pula disahkan menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang.
“Kegagalan buah pinggang yang dialaminya sudah berada pada tahap ketiga setelah didiagnosis menghidapi penyakit tersebut,” kata anak sulung daripada tujuh beradik itu kepada K2.
Setelah disahkan menghidapi penyakit tersebut, kehidupan adiknya itu terus berubah dan Mohd. Lukman perlu menjalani dialisis setiap minggu.
Nor Hirdayah amat kasihan melihat nasib Mohd. Lukman memandangkan pada waktu yang sama, adik lelakinya itu juga bakal menimang cahaya mata.
Demi kasih sayang kepada adik tercinta, Nor Hirdayah akhirnya mengambil keputusan mendermakan organ buah pinggang miliknya bagi membolehkan adiknya menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya tidak sampai hati melihat penderitaan dihadapi adik dan pada masa sama, tidak mahu lagi kehilangan insan tersayang.
“Atas faktor itu, saya mengambil keputusan mendermakan satu buah pinggang kepadanya. Walaupun pada mulanya hati saya berbolak-balik untuk menderma, tetapi suami banyak memberi sokongan untuk saya berbuat demikian,” katanya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.
Kini, setelah hampir dua tahun menjalankan pembedahan menderma organ buah pinggang, kualiti hidup adiknya bertambah baik dan dia boleh bekerja seperti biasa bagi membantu keluarga.
Nor Hirdayah juga menjelaskan, dia juga tidak mengalami sebarang masalah kesihatan walaupun telah mendermakan buah pinggang kepada adiknya.
“Kadang-kadang saya pun terlupa bahawa kini saya hidup dengan satu buah pinggang sahaja,” jelasnya.
Risiko
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, kesanggupan dua individu untuk mendermakan buah pinggang masing-masing kepada abang dan kakak mereka.
Salah seorang penderma, Nor Ashira Hanum Abd. Rahim, 30, akan mendermakan buah pinggangnya kepada kakaknya, Nor Shafika Hanis, 31, pada hujung tahun ini.
Katanya, dia sanggup mengambil segala risiko, asalkan kakaknya itu tidak lagi bergantung hidup dengan mesin dialisis.
“Saya memang halalkan buah pinggang yang akan saya dermakan kepadanya,” katanya.
Dalam pada itu, pakar nefrologi dari Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (PPUiTM), Dr. Muhammad Iqbal Abdul Hafidz berkata, lebih 22,000 pesakit kegagalan buah pinggang (ESRD) menunggu buah pinggang daripada penderma yang layak.
Tegasnya, walaupun transplan atau pembedahan pemindahan buah pinggang dilaksanakan sejak 45 tahun lalu kesedaran untuk masyarakat berbuat demikian masih lagi rendah.
“Perkara ini berlaku disebabkan kurangnya kesedaran dan pemahaman terhadap isu pendermaan organ buah pinggang.
“Isu berkaitan pemindahan dan pendermaan organ ini agak kompleks berbanding isu-isu kesihatan lain,” katanya.
Tambahnya, kadar pemindahan buah pinggang di Malaysia masih antara terendah di dunia berbanding negara-negara Asia Tenggara lain.
Bilangan pesakit yang menghidapi penyakit kegagalan buah pinggang pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan di negara ini.
Mati otak
Pada tahun 2018, Malaysia menduduki tangga kelapan tertinggi di dunia dengan kadar insiden ESRD 251 per juta populasi.
“Angka ini dijangka terus meningkat kerana hasil kajian tempatan mendapati kekerapan penyakit buah pinggang kronik (CKD) iaitu keadaan sebelum ESRD dianggarkan terjadi dalam kira-kira 10 peratus penduduk dewasa negara ini.
“Terdapat tiga pilihan rawatan bagi pesakit ESRD iaitu haemodialisis, dialisis peritoneal dan pemindahan buah pinggang,” jelasnya.
Tegasnya, pemindahan buah pinggang memberikan kualiti hidup yang baik untuk pesakit jika dibandingkan dengan kaedah hemodialisis atau dialisis peritoneal.
Jangka hayat mereka yang menjalani pemindahan buah pinggang juga lebih tinggi dan kualiti hidup akan lebih baik.
Terdapat dua kategori pendermaan organ jika transplan ingin dilaksanakan iaitu melibatkan penderma yang masih hidup atau penderma yang telah meninggal dunia.
“Bagi penderma yang masih hidup, mereka hanya boleh menderma sebiji buah pinggang. Bagi kategori ini, selalunya melibatkan ahli keluarga.
“Bagi kategori penderma yang meninggal dunia pula, mestilah dalam situasi yang dinamakan mati otak dan penderma boleh menderma keseluruhan organnya seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan lain-lain,” katanya.
Jelasnya, terdapat dua keadaan untuk seseorang itu diklasifikasikan sebagai meninggal dunia iaitu mati selepas jantung berhenti dan mati otak.
Mati otak adalah situasi otak sudah tidak berfungsi atau otak mati sebelum jantung terhenti.
Ini biasa berlaku dalam kes kecederaan teruk pada bahagian kepala dan otak contoh seperti kemalangan, pendarahan otak ataupun strok.
Muhammad Iqbal menjelaskan, kehilangan fungsi otak adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan yang mana seseorang pesakit itu tidak dapat menjalani fungsi badan.
“Mati otak hanya boleh disahkan oleh dua orang pakar yang akan melakukan ujian fungsi otak,” jelasnya.
Perbincangan akan diadakan dengan keluarga untuk mendapat izin supaya organ didermakan. Sekiranya persetujuan dicapai, organ akan diambil secara hormat dan dipindahkan kepada pesakit yang memerlukan serta-merta.
Pesakit yang mati otak itu kemudian akan dikebumikan dengan jenazahnya kelihatan sempurna tanpa sebarang kecacatan.
Tambahnya, bagi mereka di luar sana yang berhasrat untuk menderma organ selepas kematian boleh berbuat demikian dengan berikrar di Pusat Sumber Transplan Nasional.