fbpx

Sakit mental jadi pembunuh senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, ZUBAIDAH IBRAHIM

 

KESIHATAN mental kurang dipandang serius berbanding ­penyakit-penyakit fizikal yang lain kerana kesakitannya tidak boleh nampak pada mata kasar tetapi mampu menjadi ‘pembunuh’ dalam senyap.

Harus diingat mental yang sihat juga sama penting dengan kesihatan tubuh badan dan ke­dua-duanya perlu dijaga dengan baik.

Menurut statistik dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap tahun sebanyak satu juta orang membunuh diri bersamaan dengan satu kematian bagi setiap 40 saat.

WHO turut meramalkan menjelang 2020 kadar membunuh diri akan meningkat pada satu kematian bagi setiap 20 saat.

Lebih membimbangkan dunia kini diuji dengan dengan virus Covid-19 sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa ia akan menyebabkan tekanan mental melibatkan sejumlah besar populasi penduduk dunia.

Virus tersebut memberi kesan psikologi kepada sebilangan besar orang yang kehilangan orang tersayang begitu juga dengan hilang pekerjaan.

Baru-baru ini media melaporkan seorang juruterbang ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Serdang akibat tekanan yang dialami selepas diberhentikan kerja dua bulan lepas.

Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, stigma masyarakat terhadap penya­kit mental memburukkan lagi ­ke­a­daan mereka yang mengalami tekanan melampau.

“Sekiranya seseorang individu itu berjumpa pakar psikiatri atau kaunselor, mereka terus akan dilabel sebagai orang gila dan dianggap tidak mampu untuk be­kerja serta boleh mendatangkan bahaya.

“Masyarakat juga menganggap orang yang mengalami tekanan jiwa ini sebagai lemah dan tidak kental menghadapi ujian hidup,” katanya.

Sehubungan itu, pesakit memilih untuk memendamkan hal itu sendirian dan lambat mendapatkan rawatan.

Tambahnya, tidak dinafikan ada juga yang ego dan sukar menerima hakikat bahawa mereka mengalami gangguan jiwa serta mengabaikan simpton-simpton penyakit itu.

Muhammad Muhsin membe­ritahu, masyarakat di Asia susah hendak mengakui bahawa mereka mengalami masalah mental.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai agar sensitif dengan perubahan diri dan sekiranya mengalami gejala gangguan jiwa berlarutan seperti cepat resah, sukar mengawal kemarahan, hilang motivasi, sukar tidur dan hilang selera makan agar meluahkan kepada orang dipercayai atau berjumpa pakar.

Dalam pada itu, Muhammad Muhsin menggesa supaya kerajaan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda terhadap individu yang cuba membunuh diri.

“Hukuman itu akan menambahkan lagi tekanan kepada individu yang cuba membunuh diri,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, sokongan keluarga sangat pen­ting bagi membantu mereka yang mengalami masalah kemuru­ngan dan tekanan.

“Keluarga adalah insan yang akan memberikan sokongan moral. Sentiasalah bertanya khabar dan mengambil berat sesama ahli keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI