SPIELBERG – Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli menganggap Johann Zarco hampir menjadi ‘pembunuh’ berikutan tindakannya menjadi punca insiden mengerikan di Grand Prix (GP) Austria kelmarin.
Pelumba Itali itu terlibat dalam kemalangan bahaya di selekoh ketiga pusingan kesembilan dengan pelumba Perancis, Zarco di Litar Red Bull Ring hingga menyebabkan kedua-dua jentera tersebut terpelanting dan hampir merempuh Valentino Rossi dan Maverick Vinales.
Ekoran insiden ngeri tersebut, tangan kanan, bahu dan kepala Morbidelli mengalami kecederaan dalam nahas tersebut, namun selepas menjalani pemeriksaan lanjut pelumba berusia 25 tahun itu tidak mengalami kecederaan teruk.
“Dia (Zarco) hampir menjadi ‘pembunuh’. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, namun tindakan Zarco sangat bahaya.
“Rossi serta Vinales juga berdepan risiko bahaya apabila jentera saya terpelanting pada kelajuan 280 kilometer sejam (km/j) itu hanya beberapa sentimeter dari muka dia.
“Zarco memintas saya di laluan lurus sebelum menukar haluan. Mustahil untuk saya mengelaknya dengan kelajuan yang tinggi. Kami bernasib baik kerana barada dalam keadaan selamat,” kata Morbidelli.
Sementara itu, Zarco memohon maaf atas insiden tersebut dan bersyukur kemalangan itu tidak melibatkan pelumba lain biarpun jenteranya terpelanting ke dalam litar.
“Kadang-kadang sukar untuk kita mengelak kemalangan dengan kelajuan seperti ini. Saya sedikit lega apabila jentera saya dan Morbidelli tidak terkena sesiapa dan tidak mendatangkan kecederaan kepada pelumba lain,” kata Zarco. – AGENSI