Oleh ZAKI SALLEH
KUALA KANGSAR – Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas setelah motosikalnya terbabas ke dalam Sungai Perak di Kampung Padang Changkat Chandan sejak dua hari lalu berakhir apabila mayatnya ditemui pagi ini.
Mangsa dikenali sebagai Husen, 44, warga Indonesia yang bekerja di sebuah ladang di Kampung Bendang Kering dekat sini berdasarkan kad pekerja yang ditemui di dalam sebuah beg.
Komander Operasi, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh nelayan pada pukul 10.05 pagi kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Mohd. Taufiq berkata, operasi yang bermula pada pukul 8 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian sejauh 12 km dari tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.
“Gerakan mencari dilakukan dengan kaedah pencarian pada permukaan menggunakan bot bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lima bot nelayan,” katanya.
Operasi mencari melibatkan seramai 35 anggota terdiri daripada bomba, APM dan polis bersama lima anggota serta dua ekor anjing pengesan.
Kosmo! Online Ahad lalu melaporkan, orang awam menemui sebuah motosikal di tempat kejadian sebelum menghubungi polis yang kemudian mengesyaki penunggangnya terjatuh ke dalam Sungai Perak.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikerah ke tempat kejadian pada pukul 9 malam bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat. – K! ONLINE