fbpx

Lima pencemaran ditangani elak gangguan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menangani lima pencemaran bermula April hingga Jun dapat mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual di sekitar Lembah Klang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, insiden tersebut melibatkan tumpahan minyak di aliran pelepasan kolam sumber air alternatif loji Kuala Lumpur – Larut pada 27 April diikuti di stesen jana kuasa Kuala Langat pada 4 Mei serta kemalangan lori yang membawa muatan sawit dan terbakar di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang berlaku 4 Jun lalu.

Menurut beliau, dua lagi insiden masing-masing pembuangan minyak hitam di longkang Jalan Olak Lempit pada 15 Jun dan kemalangan pacuan empat roda berlaku tiga hari kemudian.

“Kelima-lima insiden ini berjaya mengelakkan henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) utama di Sungai Selangor, Labohan Dagangan, Bukit Tampoi di Sungai Langat serta LPA Sungai Labu dan Salak Tinggi di Sungai Labu.

“LPA Sungai Selangor contohnya membekalkan 60 peratus bekalan air kepada penduduk di Selangor dan Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Selangor di sini hari ini.

Beliau memberitahu, operasi yang dilakukan selama 24 jam itu bersama agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar, Polis Diraja Malaysia, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air, Pejabat Daerah dan Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan memantau 20 lokaliti yang kita kenal pasti sebagai kawasan sensitif dan berkemungkinan berlaku pencemaran berdasarkan rekod sebelum ini.

Kata Amirudin, operasi harian itu dilaksanakan susulan kejayaan dalam musim perayaan tahun lalu bagi mengurangkan risiko pencemaran yang terlepas ke sungai daripada anak sungai.

Mengulas mengenai sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Selangor, Amirudin menjelaskan pihaknya akan melancarkan inisiatif Friends of River (FoR) di kira-kira 20 lokasi sekitar Selangor.

“FoR diwujudkan di setiap sungai di negeri ini bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai oleh komuniti-komuniti setempat, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI