fbpx

Keputusan jatuh hukum yang dinanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ATIKAH DALI, PENGARANG BERITA

 

Pada Rabu lalu, pemilik restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh, Jitra dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh mahkamah.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dihadapinya.

Keesokkan harinya di Ipoh, seorang wanita warga emas berusia 72 tahun terpaksa meringkuk dalam penjara selama sehari dan didenda sebanyak RM8,000 oleh mahkamah.

Kedua-duanya dijatuhi hukuman itu kerana melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian. Mereka sepatutnya menjalani kuarantin di kediaman masing-masing, namun kedua-duanya ingkar arahan tersebut.

Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pada Jun lepas, saban hari pasti ada invidivu yang ditahan pihak berkuasa kerana ingkar arahan tersebut.

Natijahnya, sekiranya mereka yang ingkar ini dijangkiti virus Covid-19, orang lain yang menerima kesannya.

Bagi Kluster Sivagangga misalnya, pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di dua daerah di Kedah dan satu daerah di Perlis yang akan berakhir hujung bulan ini menyusahkan ramai pihak.

Gara-gara kluster tersebut yang dikesan pada 28 Julai lalu, kira-kira 8,000 penduduk terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19.

Mereka juga tidak dibenarkan keluar bekerja, malah lebih teruk lagi dipulaukan penduduk kawasan berhampiran. Itulah kesan yang ditanggung penduduk terutama­nya di Napoh.

Ada juga penduduk mengambil langkah untuk memanjangkan kes ini dan mahu menyaman pemilik restoran yang menjadi punca penyebaran kluster tersebut.

Penulis percaya disebabkan nama kluster dari sebuah daerah di India itu, nama Napoh, sebuah pekan kecil di Jitra meniti di bibir kebanyakan rakyat Malaysia.

Keputusan kerajaan mengheret mereka yang degil ke muka pengadilan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dalam masa singkat memang dinantikan oleh rakyat Malaysia termasuk penulis.

Dalam kes ini, kerajaan dilihat tidak memilih bulu, buktinya warga emas yang berusia lebih tujuh dekad pun dituduh di mahkamah tanpa sebarang kompromi.

Siapa buat salah dialah yang patut terima akibatnya.

Diharapkan dengan hukuman denda dan penjara yang dikenakan ke atas dua individu di Kedah dan Perak itu dapat ‘membuka mata’ masyarakat supaya patuh kepada arahan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mungkin ramai yang memandang remeh sekiranya dikenakan kompaun kerana ramai yang mampu membayarnya.

Namun, hukuman penjara yang terdapat dalam klausa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 benar-benar memberi pengajaran.

Penulis percaya sekiranya kita rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan, tidak lama lagi #kitamestimenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI