Oleh Ivan Amirul
KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai terjatuh daripada tingkat empat sebuah flat di Batu 2, Jalan Tuaran di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun yang tinggal bersama neneknya dikatakan terjatuh dari beranda dapur.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, nenek mangsa berusia 52 tahun dipercayai berada di dalam tandas sewaktu kejadian berlaku.
“Nenek kanak-kanak terbabit hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan orang awam dari tingkat bawah rumah flat berkenaan.
“Mangsa yang parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! tadi.
Dalam pada itu, Habibi berkata, siasatan awal mendapati ibu dan bapa mangsa tinggal si rumah berlainan namun di flat yang sama.
Menurut beliau, setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes berkenaan dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – K! ONLINE