Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Empat cedera parah selepas kereta yang mereka dinaiki terbabas sebelum jatuh ke dalam sungai di Kilometer 64, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8.15 pagi, mangsa membabitkan seorang lelaki dan tiga perempuan telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa memandu kereta Honda City dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Katanya, ketika kejadian berlaku cuaca hujan dan jalan basah.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta yang dipandu salah seorang daripada mereka cuba memotong kenderaan lain.
“Kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum menjunam jatuh ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Menurut Mohd. Taufik, setakat ini, polis masih belum memperoleh empat nama mangsa yang terlibat kerana mereka dibantu orang ramai sewaktu dihantar ke hospital.
Tambahnya, siasatan mendapati kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE