KUALA KANGSAR – Padah memberikan keterangan palsu dengan mendakwa diri disamun ketika disoal siasat polis, dua individu masing-masing dihukum denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman tersebut kepada tertuduh, G. Sharmila, 22, dan S. Sharonien, 32, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, Sharmila dan Sharonien didakwa dengan sengaja memberikan maklumat bertulis palsu kepada pegawai penyiasat, Ahmad Firdaus Abdullah di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dekat sini masing-masing pada pukul 4.10 petang 11 Ogos lalu dan 3.30 petang 12 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Nor Izawani Ahmad Jalaludin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Hasyutantee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Dalam rayuan kepada anak guamnya, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan memandangkan mereka berdua telah menyesal atas kesalahan tersebut.
Rohaida kemudian menjatuhkan hukuman denda RM800 terhadap kedua-dua mereka. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, mereka akan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan. Kedua-duanya membayar denda berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, mereka berdua telah memberikan keterangan bertulis palsu menyatakan diri mereka diragut dengan tujuan untuk tidak membayar kompaun yang akan dikenakan kepada mereka oleh Jabatan Pendaftaran Negara disebabkan kehilangan kad pengenalan. – K! ONLINE