SEBERANG PERAI – Seorang pegawai tentera yang telah ditamatkan perkhidmatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung pembelian anak benih pokok pada November 2016.
Tertuduh, Mejar (B) Muhamad Mohd. Aziz, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai pegawai staf stesen di Markas Staf Stesen Pulau Pinang telah menggunakan dokumen ‘delivery order’ dan invois dengan niat memperdayakan prinsipal iaitu Sel Belanjawan Markas 2 Divisyen.
Ia di mana kedua-dua dokumen tersebut mengandungi butiran matan palsu iaitu pengesahan pembelian anak benih pokok di Markas Staf Stesen Pulau Pinang bernilai RM28,000 yang mana tiada sebarang pembelian dibuat oleh syarikat Ambang Wawasan Enterprise.
Tertuduh yang memakai jeket hitam itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Sel Belanjawan Markas 2 Divisyen Bayan Lepas dekat sini pada 9 November 2016.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Suzana Norlihan Alias dan Siti Kasim.
Terdahulu Mohamad Azlan memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000, namun Suzana Norlihan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana tertuduh kini berniaga keropok lekor di gerai selepas ditamatkan perkhidmatan selain mempunyai tanggungan lain.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain dia perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.
Kes berkenaan akan disebut semula pada 24 September depan.
Tertuduh membayar wang jaminan hari ini. – K! ONLINE