fbpx

Bidaan nombor siri DDU catat kutipan RM1.78 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan tertinggi sebanyak RM1.78 juta menerusi bidaan siri nombor pendaftaran kenderaan DDU.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bidaan nombor siri pendaftaran itu dibuka sejak lima hari lalu dan jumlah tersebut melebihi sasaran awal iaitu sebanyak RM1.35 juta.

Katanya, sehubungan dengan itu, bidaan siri nombor pendaftaran DDU mencatatkan kutipan tertinggi sejak JPJeBID diperkenalkan untuk negeri Kelantan.

“Seramai 2,040 daripada 238,252 pembida telah membida nombor siri pendaftaran itu dan hanya 341 permohonan yang berjaya.

“Jumlah harga bidaan tertinggi bagi siri DDU melibatkan nombor pendaftaran DDU 1 yang bernilai RM118,888 manakala DDU 83 dan DDU 117 mendapat bidaan tertinggi dengan 13 pembida,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan untuk sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Hanif Yusabra berkata, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.

“Harga bidaan akan mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu kategori nombor bernilai utama dengan nilai RM20,000, nombor menarik iaitu dua digit (RM3,000), nombor menarik tiga digit (RM2,500), nombor menarik empat digit (RM2,000), nombor popular RM500 dan nombor semasa bernilai RM300.

“Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan,” katanya.

Tambah Hanif Yusabra, orang awam juga disaran untuk memiliki kata laluan mySIKAP untuk mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan seterusnya membeli secara dalam talian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI