JOHOR BAHRU – Seorang pemilik restoran ditahan gara-gara memasang Jalur Gemilang secara terbalik sejak tiga tahun lalu di premisnya di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang dekat sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, wanita berusia 55 tahun itu diberkas di kedai makan miliknya pada 16 Ogos lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati premis ini menjalankan perniagaan kedai makan sudah dua tahun mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.
“Sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kluang selepas menerima laporan Ahad lalu, berkaitan perkara itu di sebuah premis di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang.
“Pemilik itu ditahan dipremisnya. Siasatan awal mendapati premis itu beroperasi sejak 2017 hingga Disember 2019. Bagaimanapun pada Januari lalu premis ini tidak lagi beroperasi.
“Sekarang bila kita sudah beri kesedaran dan masyarakat lebih peka untuk membuat laporan sekiranya nampak bendera terbalik. Kita akan ambil tindakan, Akta yang dikenakan ini lebih berat. Pasang bendera berhati-hati, tiada alasan tiada faham atau terlupa”,katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, sehelai bendera Malaysia turut dirampas.
“Keterangan suspek telah diambil dan akan didakwa dibawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (penggunaan tidak wajar) (pindaan) 2017.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau keduanya sekali”,katanya.-K! ONLINE.