Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Sebanyak 23 buah masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka di sini disanitasi sejak semalam sebagai usaha untuk membendung penularan Covid-19 di kawasan itu.
Proses sanitasi dijalankan secara percuma oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka bersama Team Belia DUN Pantai Merdeka.
ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim berkata, program sanitasi itu adalah yang pertama kali dianjurkan pusat khidmat sebagai tanda sokongan kepada pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak tersebut.
“Program ini kita buat selama tiga hari bermula semalam dan dijangka kesemua 23 masjid di DUN ini akan selesai disanitasi esok.
“Setakat hari ini kita telah sanitasi kira-kira 10 buah masjid antaranya Masjid Padang Temusu, Masjid Pokok Asam, Masjid Sungai Pasir, Masjid Matang Berangan, Masjid Pulau Sepom, Masjid Berapit dan Masjid Batu Lintang,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya berharap usaha tersebut menjadi pemangkin kepada pihak lain untuk turut sama menyumbang dengan melakukan sanitasi di lokasi lain termasuk surau.
“Setiap pihak dengan keupayaan yang mereka ada boleh bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha menangani penularan wabak ini,” ujarnya. -K! ONLINE