fbpx

Peniaga mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ang Hung Kook (kiri) dan Nor Haseena Sehud Daaud menunjukkan salinan kenyataan palsu yang tular mengenai pasar raya Billion Seberang Jaya sebelum ini dalam satu sidang akhbar hari ini.

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Seorang peniaga memohon maaf secara terbuka dan tampil untuk memperjelaskan isu sebenar selepas didakwa menularkan maklumat tidak benar mengenai sebuah pasar raya Billion di Seberang Jaya, di sini pada 9 Ogos yang lalu.

Nor Haseena Sehud Daaud, 33, yang mengaku tidak menyelidiki terlebih dahulu kesahihan berita yang diterimanya sebelum memuat naik ke dalam laman Facebook miliknya itu bagaimanapun mendakwa, dia telah memadam status tersebut pada hari yang sama dan menggantikannya dengan status baharu selepas menyedari telah membuat satu kesilapan.

Namun demikian, status baharu wanita itu agak terlewat kerana hantaran awalnya telah ditularkan sebagai berita palsu hingga menimbulkan kemarahan pihak pengurusan Billion serta para netizen ketika itu.

“Tujuan dan niat asal saya bukan menjatuhkan perniagaan mereka (Billion), tetapi sebagai penduduk setempat, saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi berita semasa mengenai Covid-19.

“Atas salah faham ini, saya hadir sendiri untuk memohon maaf secara terbuka terhadap Billion serta penduduk setempat yang terkejut dengan berita penutupan pasar raya ini (untuk kerja-kerja sanitasi) selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama selepas ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan Billion telah membuat kenyataan balas bagi menafikan berita palsu yang tular itu sebelum membuat satu laporan polis untuk membersihkan nama mereka.

Dalam pada itu, Pengurus Jualan Pusat Beli-Belah Billion (Seberang Jaya) Sdn. Bhd., Ang Hung Kook yang turut-serta dalam sidang media itu mendakwa, perniagaan mereka terjejas sehingga 30 peratus sejak berita palsu itu tular hingga semalam.

“Dengan adanya penjelasan ini (menerusi sidang akhbar), kami berharap agar orang ramai tidak lagi bimbang untuk ke sini dan perniagaan kami juga akan kembali seperti sedia kala,” ujarnya.

Tambah Hung Kook, pihaknya juga bersedia untuk menarik semula laporan polis yang telah dibuat sebelum ini sekiranya pihak atasan mereka berpuas hati dengan permohonan maaf yang dibuat dan bersedia untuk bekerjasama pada bila-bila masa bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara baik.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang wanita berdepan risiko dikenakan tindakan didakwa di mahkamah dan dipenjara selepas menularkan maklumat palsu mengenai sebuah pasar raya di Seberang Jaya di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI