fbpx

PRN Sabah 26 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 26 September sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengumuman berkenaan diumumkan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom pada Sidang Media Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 sebentar tadi.

Azmi berkata sehubungan itu SPR menetapkan Hari Penamaan Calon pada 12 September manakala Hari Mengundi Awal pada 22 September depan.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam pada 25 September.

“Tarikh buka permohonan bagi undi pos dalam dan luar negara adalah 17 Ogos manakala tarikh tutup permohonan ialah 11 September bagi undi pos dalam negara dan 3 September bagi undi pos luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, SPR juga sudah melantik 73 Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain dibantu 193 Penolong Pegawai Pengurus sepanjang berlangsungnya proses PRN Sabah.

Menurut beliau, pihaknya juga menubuhkan 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

“Sebanyak 64 pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan untuk PRN Sabah.

“Seramai 30,540 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses mengundi manakala 741 buah pusat mengundi yang mengandungi 2,540 tempat mengundi (saluran) dan 56 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 73 tempat mengundi (saluran) awal akan digunakan, ” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, daftar pemilih untuk PRN Sabah mengandungi 1,124,598 orang pengundi yang terdiri daripada 1,103,646 orang pengundi biasa, 9,448 orang anggota tentera dan pasangan, 11,423 orang anggota polis dan pasangan polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 81 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata daftar pemilih terbabit akan mula dijual pada 7 September ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI