Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
KLANG – Polis sedang mengesan saksi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori berhampiran lampu isyarat Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru dekat sini pada Khamis lalu.
Dalam kejadian pukul 6.35 petang itu, penunggang motosikal berusia 21 tahun tersebut maut selepas parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke Kapar dari Meru itu telah gagal berhenti di lampu isyarat sebelum melanggar bahagian hadapan sebuah lori dari arah bertentangan.
Katanya, lori tersebut dikatakan ingin membelok ke Jalan Haji Abdul Manan dari Kapar.
“Mangsa kemudiannya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh konkrit jalan.
“Justeru, mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Mohd Fadli Ismail 0172141318 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. -K!ONLINE