fbpx

Nana Sheme atasi kebimbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANA SHEME

ENAM tahun lalu, lagu Hantu Atau Buaya nyanyian Nana Sheme pernah mencipta fenomena tersendiri dalam industri muzik tempatan.

Ketika itu, Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi baru berumur 18 tahun dan masih mentah untuk menghadam populariti yang diterima.

Sempat menghasilkan sebuah lagi single iaitu Boleh Blah pada 2015, Nana kemudiannya memilih untuk berehat sebentar daripada dunia muzik.

Bukan merajuk atau mengalah, namun tumpuan wanita berusia 25 tahun itu beralih terhadap pengajiannya di Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pengurusan Pembinaan.

“Keputusan untuk meninggalkan sementara industri ketika nama sedang popular bukan satu tindakan yang mudah tetapi harus dilakukan.

“Saya tidak mahu hilang fokus dalam pelajaran akibat sibuk menyanyi. Jadi, saya terpaksa pilih salah satu,” katanya usai diumumkan sebagai salah seorang peserta Big Stage 2020 di Nicsman By Lewre, The Starling Mall, baru-baru ini.

 

KEPUTUSAN berehat daripada dunia nyanyian ialah sebahagian daripada janji Nana kepada ibunya yang meninggal dunia pada 2010 untuk meletakkan pelajaran sebagai perkara nombor satu dalam hidup. – FARIZ RUSADIO

 

Peluang kedua

Setelah berjaya meraih segenggam ijazah dengan Anugerah Cemerlang Khas Kelas Pertama dalam pengajiannya, Nana kembali aktif ke pentas nyanyian.

Bermula dengan single Ragu-Ragu yang dilancarkan awal Jun lalu, kini perjuangan baharu Nana sebagai peserta program realiti popular, Big Stage musim ketiga sedang bermula.

Menganggap Big Stage sebagai platform terbaik untuk kembali menaikkan nama dalam industri muzik, Nana enggan mensia-siakan peluang kedua yang diterimanya.

“Sewaktu pertama kali diperkenalkan sebagai penyanyi, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghargai peminat yang menyokong lagu-lagu saya pada ketika itu.

“Kini, saya sudah boleh memberi sepenuh tumpuan terhadap karier nyanyian. Jadi, saya ingin menebus semula waktu lalu. Saya mahu lebih dekat dengan peminat dan memberikan yang terbaik buat mereka,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Sudah bersedia berdepan dengan sebarang bentuk kecaman, Nana berkata, semua itu adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuh apabila bergelar penyanyi zaman sekarang.

“Kewujudan media sosial memang banyak mengubah arus industri hiburan dan situasi ini berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini. Mahu atau tidak, saya perlu terima hakikat,” tuturnya.

Gangguan bukan gimik

Selain mahu menggunakan peluang kedua sebaik mungkin, anak kelahiran Bumi Kenyalang itu juga melihat penyertaannya dalam Big Stage mampu membantunya menyembuhkan diri daripada masalah gangguan kebimbangan (anxiety disorder) yang dialaminya sejak remaja.

Masalah tersebut timbul sebelum dia bergelar artis, namun menjadi semakin teruk ketika namanya berada di puncak sekitar tahun 2014.

Apabila dia mengambil keputusan untuk berehat sebentar daripada nyanyian, sekali gus Nana beroleh peluang mencari solusi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya sering berjumpa pakar psikiatri sewaktu kecil tetapi sekarang keadaan sudah jauh lebih baik. Namun, ada masanya saya perlukan bantuan ubat yang dibekalkan doktor.

“Gangguan kebimbangan saya tiada kaitan dengan industri tetapi lebih kepada diri sendiri. Kadang-kadang saya berdepan panik dan didatangi rasa tidak boleh bernafas sewaktu bersendirian atau ketika tidur,” jelasnya terperinci.

MESKIPUN sudah agak lama menyepi, Nana bersyukur kerana masih ada peminat yang mengikuti perkembangannya dan terus memberi sokongan apabila dia menyertai Big Stage musim ketiga.

Tambah Nana, pentas Big Stage boleh membantu dirinya membina keyakinan diri dan secara tidak langsung mengurangkan gangguan kebimbangan yang dihadapi.

Menolak kenyataan sekadar membuat gimik dengan pendedahan penyakitnya, Nana bertegas, keterbukaan dirinya bercakap tentang masalah yang dihidapi ada asas yang kukuh. Dia berharap dapat membantu sesiapa yang berdepan masalah sama.

“Dahulu saya malu untuk bercakap tentang perkara ini kerana pada ketika itu, saya sendiri belum pulih.

“Saya tiada niat untuk membuat gimik. Penyakit yang saya alami ini serius dan bukan boleh dijadikan bahan gurauan,” tegasnya mengakhiri perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI