Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengesan terdapat segelintir peniaga yang masih gagal menurunkan harga pelitup muka kepada RM1 bermula Sabtu lalu.
Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan arahan dikeluarkan oleh kerajaan dalam meringankan beban pengguna dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Katanya, amaran telah diberikan kepada peniaga tersebut termasuk jualan dalam talian supaya mereka mematuhi harga siling pelitup muka tersebut.
“Sepanjang tempoh dua hari bermula 15 Ogos lalu, sebanyak 100 hingga 200 premis telah diperiksa dengan segelintir daripadanya masih gagal menurunkan harga ditetapkan kerajaan.
“Mereka yang berdegil boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau dikompaun RM50,000 bagi individu manakala syarikat didenda maksimum RM500,000 atau kompaun sehingga RM50,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga siling pelitup muka di Pasaraya Giant, Seksyen 13 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zikril menjelaskan sebanyak tujuh kes telah direkodkan dengan nilai rampasan RM2,238.60 sejak Januari lalu.
“Kita turut mengeluarkan kompaun sejumlah RM30,000 kepada peniaga yang gagal mematuhi penetapan harga pelitup muka tersebut,” katanya. -K!ONLINE