PUTRAJAYA – Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Maas mempertahankan keputusannya memberikan markah paling rendah dalam sejarah pertandingan program realiti Big Stage 2020 (BS2020) iaitu 2/100 kepada salah seorang peserta pada konsert yang berlangsung pada malam tadi.
Faizal atau lebih dikenali sebagai Ajai berkata, markah yang diberi berdasarkan persembahan peserta terbabit iaitu Hafiz Zainal yang kucar-kacir dan lari tempo dari awal hingga ke akhir nyanyiannya.
“Saya bukan pilih kasih atau sengaja mahu memberikan markah sebegitu kerana sebagai seorang juri, tugas saya untuk menilai dan memberitahu peserta apa kurangnya dengan persembahan mereka.
“Sebenarnya kalau boleh, saya mahu bagi 0/100 kerana nyanyian Hafiz pada malam ini (malam tadi) sangat teruk. Dia seolah-olah ‘tone deaf’ (buta ton),”katanya pada sidang akhbar yang berlangsung usai konsert minggu pertama BS2020 di Pusat Konvensyen Antarbangsa Putrajaya (PICC).
Ajai bagaimanapun bertegas, pemberian markah serendah itu bukan bertujuan menghina atau membunuh semangat peserta, sebaliknya mahu mereka belajar sesuatu.
“Peminat boleh membenci saya atau mahu membuat petisyen buang saya daripada BS2020 dek tindakan saya.
“Apa yang penting, saya tahu tanggungjawab saya di sini untuk mendidik dan para peserta perlu tahu di mana salah dan silap mereka dalam persembahan supaya tidak lagi berulang pada masa hadapan,” tegasnya.
Konsert minggu pertama BS2020 merupakan pembukal tirai program secara langsung yang disiarkan Astro selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan pada Jun lalu.
Bagi mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang diarahkan kerajaan, hanya 200 penonton hadir di dalam dewan berbanding 1000 seperti kebiasaannya dan semua kedudukan mengikut penjarakan fizikal.
Tiada penyingkiran berlaku pada konsert minggu pertama dan kesemua 12 peserta layak ke minggu kedua pada Ahad depan. – K! ONLINE