SUBANG JAYA – Polis akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di Persiaran Tujuan di sini seperti kejadian yang tular minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, setelah mengadakan perbincangan bersama pihak MPSJ dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling, beberapa langkah pencegahan akan diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut.
“Berdasarkan penilaian dan tinjauan pihak JKR serta MPSJ di lokasi, kami dapati struktur juga kondisi jalan raya ini berada pada tahap yang memuaskan dan bukan merupakan penyumbang kepada kejadian kemalangan.
“Siasatan juga mendapati kemalangan di kawasan ini adalah berpunca daripada cara pemanduan serta kelajuan kenderaan ketika melalui kawasan selekoh di sini,” katanya pada satu sidang akhbar di selekoh Persiaran Tujuan di sini hari ini.
Menurut Risikin, pihaknya bersama MPSJ dan JKR akan mengambil inisiatif meletakkan papan tanda amaran, garisan bonggol getah serta televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi tersebut yang dilabelkan sebagai kawasan cenderung kemalangan.
“Beberapa papan tanda peringatan akan diletakkan di kawasan tersebut untuk mengingatkan pemandu tentang had laju dan kawasan berbahaya termasuk meletakkan lampu berkelip keselamatan jalan raya di lokasi,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Risikin turut menegaskan bahawa dakwaan segelintir pihak di media sosial tentang perbuatan khianat menuang minyak sehingga mengakibatkan kemalangan di kawasan tersebut adalah tidak benar.
“Berdasarkan laporan polis yang diterima, pada tahun ini sahaja sebanyak 29 kes kemalangan telah berlaku di kawasan ini melibatkan pengguna jalan raya dari Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Subang manakala dari arah Subang pula sebanyak 38 kes telah dilaporkan.
“Tiada kematian, hanya kecederaan yang dilaporkan dan berdasarkan laporan, kejadian berpunca daripada kecuaian, memandu melebihi had laju serta cubaan mengelak takungan air selepas hujan,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Risikin berkata, pihaknya masih belum mengenalpasti inidividu yang merakamkan kejadian kemalangan yang menjadi tular minggu lalu itu dan memohon individu berkenaan tampil untuk diambil keterangan. – K! ONLINE