fbpx

‘Kalau suruh datang, datang’ – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Nur (depan) menukar pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan memberikan suapan RM5,000 kepada anggota polis bagi melepaskan dua rakannya, Mac lalu.

SHAH ALAM – Seorang buruh warga Bangladesh diberikan teguran selama 10 minit oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini berikutan melengahkan prosiding pertuduhan memberikan suapan RM5,000 kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar bagi melepaskan dua rakannya, Mac lalu.

Teguran itu diberikan Hakim, Rozilah Salleh terhadap Md. Nur Islam, 32, yang tidak bertanggungjawab selepas gagal hadir prosiding yang sepatutnya berlangsung pada pukul 10 pagi hari ini.

Tertuduh kemudiannya telah diminta hadir pukul 2 petang selepas dihubungi semula oleh pihak mahkamah.

“Bila suruh datang, datang bukan tanya peguam. Kalau peguam tidak hadir tidak menjadi masalah, prosiding boleh berlangsung kerana yang penting adalah kamu (Md. Nur) selain kita telah melantik jurubahasa asing yang kosnya dibayar kerajaan.

“Kalau tidak datang, waran tangkap boleh dikenakan dan duduklah kamu di dalam lokap sehingga tarikh sebutan akan datang. Peringatan ini juga kepada kamu penjamin yang merupakan isteri tertuduh bahawa wang jaminan boleh dirampas dan diberikan notis tunjuk sebab kerana tidak memastikan tertuduh hadir,” katanya.

Terdahulu pada prosiding tersebut, bapa kepada seorang anak itu menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Bangladesh oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Md. Nur didakwa telah memberikan suapan wang tunai RM5,000 kepada seorang anggota polis sebagai balasan untuk melepaskan dua rakannya yang ditahan memiliki rokok seludup di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, Jalan Kubu, Kuala Kubu Bharu pukul 9.20 malam pada 13 Mac lalu.

Sehubungan dengan itu, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab manakala tertuduh diwakili Peguam, Rejinder Singh.

Mahkamah kemudiannya melanjutkan wang jaminan RM10,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini bersama seorang penjamin dan diminta hadir lapor diri di SPRM pada minggu pertama setiap bulan serta pasport tertuduh disimpan di mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September depan.

Difahamkan, tertuduh yang menetap di negara ini selama 14 tahun telah berkahwin dengan isterinya yang merupakan warga tempatan.

Tertuduh juga difahamkan telah meminjam wang daripada ah long dalam jumlah tertentu bagi membayar jaminan yang dikenakan mahkamah sebelum ini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI