fbpx

K2

Heri juruterbang dron terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BUTANG alat kawalan jauh digerakkan dengan cermat bagi memastikan dron yang dinaikkan itu dapat merakam gambar dan video pada sudut terbaik.

Seni fotografi dari udara itu merupakan hobi Nazarizal Mohammad, 41, atau mesra disapa Heri sejak lima tahun lalu.

Siapa sangka hobi itu bukan saja memberi pendapatan sampingan yang lumayan buat Heri, tetapi turut mengangkat namanya sebagai salah seorang juruterbang dron terbaik dunia pada tahun 2017 dan 2019, yang dikeluarkan sebuah organisasi antarabangsa, Drone Multimedia yang berpangkalan di Australia menerusi laman instagram rasminya.

Di samping itu, hasil karya Heri juga turut dimuatkan dalam buku Eyes Over The World, The Most Spectacular Drone Photography yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) pada 26 Mei lalu yang memaparkan keindahan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Tidak terhenti di situ, rakaman gambarnya juga dimuatkan dalam majalah Chiiz yang diterbitkan di AS.

Rakaman gambarnya turut menarik minat majalah Drone Aerial Photography Guidebook yang diterbitkan di Jepun pada tahun lalu, begitu juga disiarkan di saluran televisyen negara Matahari Terbit itu.

Bercerita lanjut mengenai permulaan tercetusnya minat dalam seni fotografi udara, Heri memberitahu, dia melihat keindahan gambar-gambar yang dirakam oleh juruterbang dron dari luar negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Rusia di laman instagram.

“Saya sungguh kagum melihat rakaman gambar-gambar dari udara kerana ia mempunyai sudut yang berbeza dan sangat unik.

“Apabila gambar atau video dirakam dari aras atas, ia memperlihatkan keseluruhan tempat itu dan hasilnya sangat menakjubkan,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tanpa melengahkan masa, Heri menanam tekad dalam diri untuk membeli dron asas berharga RM2,000 dan merakam gambar menggunakannya.

Kini, Heri memiliki empat buah dron yang keseluruhan berharga sekitar RM20,000 sehingga RM30,000.

Sejak dari itu, Heri terus mengorak langkah ke hadapan dengan menghasilkan rakaman-rakaman gambar menarik dan unik terutamanya berkaitan landskap dan seni bina yang merupakan subjek kesukaannya.

Heri banyak merakam keindahan di Malaysia yang pada masa sama bertujuan mempromosikan pelancongan negara.

“Gambar Menara Berkembar Petronas (KLCC) antara yang mendapat permintaan tinggi dan sekeping gambar dijual sekitar AS$200 (RM843) sehingga AS$300 (RM1,265).

“Pembeli kebanyakan dari luar negara seperti AS, Brazil, UAE dan China,” tuturnya yang sering mendapat jemputan ke luar negara untuk berkongsi kepakaran dan menjalin kerjasama dalam seni fotografi udara itu.

PEMANDANGAN menakjubkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) daripada bidikan dron oleh Heri.

Tambah Heri yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung pada masa lapang itu, dia turut menjual gambar-gambar di Shutterstock dan Getty Images.

Perkhidmatannya turut digunakan untuk merakam gambar dan video pada majlis perkahwinan serta menerima tempahan daripada syarikat-syarikat pembinaan bangunan.

Ulasnya, teknik dan suntingan gambar banyak dipelajari sendiri menerusi Youtube serta menerusi karya-karya jurugambar udara seluruh dunia.

Heri berkata, merakam gambar menggunakan dron itu tidaklah terlalu sukar tetapi memerlukan minat dan kesabaran yang tinggi.

“Bayangkan untuk merakam satu gambar memerlukan masa sekitar 30 minit atau satu jam bagi mendapatkan sudut terbaik.

“Jika seseorang itu berdisiplin dan fokus serta ditambah lagi dengan minat yang tinggi, maka dalam tempoh sebulan atau dua bulan sudah boleh mahir,” kongsi anak kedua daripada tiga beradik itu.

Justeru, Heri turut menekankan bahawa bagi mendapatkan gambar yang cantik, seorang jurugambar udara perlu menguasai aspek teknik, penentuan sudut dan persekitaran.

Berbicara mengenai cabaran dalam bidang jurugambar udara itu, Heri memberitahu, keadaan cuaca seperti angin, burung-burung dan pokok-pokok adalah halangan yang perlu ditempuh.

“Jika cuaca hujan atau angin terlalu kuat akan menjadi penghalang untuk menerbangkan dron. Begitu juga di tempat-tempat yang tinggi boleh menyebabkan isyarat terganggu, lantas menjadikan hasil gambar atau video itu kurang berkualiti.

“Kita juga perlu bersedia bangun awal untuk merakam gambar-gambar tertentu seperti matahari terbit,” katanya yang merupakan moderator DJI Malaysia.

Akuinya, kos yang tinggi untuk membeli dron merupakan salah satu cabaran dalam hobi itu.

Masih sedar dalam ingatan Heri, kejadian dron miliknya yang melanggar pokok ketika memulakan hobi tersebut beberapa tahun lalu.

Kos untuk membaiki kamera dron yang rosak sama harganya dengan membeli sebuah dron baharu.

Menurut Heri, walaupun hobi tersebut dianggap ‘mahal’ tetapi ia pelaburan yang mendatangkan pulangan lumayan pada masa akan datang.

Dia sempat menitipkan nasihat kepada orang ramai yang berminat dengan hobi tersebut agar tidak menjadikan kewangan sebagai penghalang sebaliknya mula membuat simpanan untuk membeli dron asas.

Pada masa yang sama, dia juga mengingatkan kepada peminat dron agar mengetahui tempat-tempat larangan menerbangkannya seperti di lapangan terbang dan bangunan-bangunan kerajaan.

Lelaki berketinggian 180 sentimeter itu memberikan tip penting penjagaan dron. Katanya, kamera dron perlu dibersihkan setiap kali diterbangkan agar habuk tidak terperangkap di dalamnya.

Menyentuh perkembangan terkininya, Heri berkata, dirinya sedang menyertai pertandingan Paris Aerial Photography Award yang sedang berlangsung di Perancis dengan tawaran hadiah $AS10,000 (RM42,175).

Dia mempertaruhkan lima keping gambar yang merakamkan keindahan Malaysia dan Singapura.

Ulasnya yang dibesarkan di Negeri Sembilan itu, antara keseronokan hobi tersebut ialah apabila dapat berkongsi keindahan rakaman gambar di seluruh dunia.

Pada masa akan datang Heri bercadang untuk membuka bengkel pengendalian dron bagi berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat dalam bidang ini kerana hobi itu membuka satu lagi cabang kerjaya jika diusahakan secara serius.

HERI menunjukkan fotonya yang disiarkan dalam buku Eyes Over The World, The Most Spectacular Drone Photography.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI