fbpx

Banjir kilat selepas setengah jam hujan lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada haiwan ternakan yang sempat diselamatkan dalam kejadian banjir kilat di Kampung Batu 5 ½, Kendong, Negeri Sembilan hari ini

Oleh NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang penternak menarik nafas lega apabila sempat memindahkan 20 daripada 40 ekor lembu yang diternaknya dalam kejadian banjir kilat di Kampung Batu 5 ½, Kendong, dekat sini, pagi tadi.

Mohd Faizal Sulaiman, 27, berkata, ternakan berkenaan merupakan usaha bersama adik-beradiknya dan sudah hampir tiga tahun mereka tidak mengalami masalah banjir kilat.

Bagaimanapun menurutnya, secara tiba-tiba air melimpah dari pelbagai arah selepas setengah jam hujan lebat sehingga menyebabkan kawasan kandang serta dua buah rumah berhampiran dinaiki air banjir.

“Pada pukul 11.00 pagi, saya dan beberapa pekerja memindahkan separuh lembu ke kandang di bahagian belakang yang lebih tinggi. Manakala, separuh lagi tidak dipindahkan dan saya berharap agar banjir kilat ini cepat surut.

“Sekarang ni memang musim hujan dan sistem pengaliran di hadapan rumah dan kandang ternakan ini sudah tidak mampu menampung aliran air baik dari bukit berhampiran atau kawasan penempatan lain,” katanya kepada Kosmo!.

Bagi Abdul Ghani Syeikh Mohamad, 55, pula, dia terkejut apabila mendengar deruan air dan banyak barangan di rumah tidak sempat diselamatkan dari ditenggelami air banjir.

Bahkan menurutnya, lebih mengejutkan lagi, jambatan yang menghubungkan rumah dan kandang ternakan ke jalan utama juga rosak akibat aliran air deras setinggi kira-kira satu meter.

“Kami harap agar pihak berwajib dapat membantu kami membaik pulih kerosakan jambatan ini.

“Walaupun tiga tahun sebelum ini kerap berlaku banjir, kami tidak pernah membuat aduan dan cuba menyelesaikan masalah banjir kilat sendiri,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI