fbpx

Separuh akhir bukan standard United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOLSKJAER yakin barisan pemain United mempunyai kemampuan untuk menewaskan Sevilla sekali gus melangkah ke pentas final buat kali pertama dalam semua kejohanan musim ini. - AFP

COLOGNE, Jerman – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak rela berputih mata gagal ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut musim ini selepas terdahulu terkandas pada aksi separuh akhir Piala EFL dan Piala FA.

Sehubungan itu, Solskjaer, 47, melaungkan amaran kepada barisan pemainnya bahawa mereka wajib menewaskan Sevilla pada aksi separuh akhir Liga Europa di Stadium Rhein Energie awal pagi esok untuk mara ke final kejohanan berkenaan.

“Separuh akhir masih tidak cukup buat kelab hebat seperti United. Cukuplah selepas dua kali kami terkandas di peringkat separuh akhir musim ini.

“Aksi menentang Sevilla akan membuktikan sama ada pemain saya sudah belajar daripada dua kegagalan lalu ataupun tidak. Buktikan kepada semua bahawa United bukan pasukan ‘separuh akhir’,” katanya.

Ia juga bakal mencerahkan peluang pengendali dari Norway tersebut untuk meraih kejuara­an pertama sebagai pengurus United sejak dilantik secara tetap mengendalikan pasukan tempat ketiga Liga Perdana Inggeris itu pada Mac 2019.

Jika mahu ke final, United tidak boleh menunjukkan permulaan perlahan seperti aksi suku akhir ketika menewaskan Copenhagen 1-0 minggu lalu kerana Sevilla mempunyai rekod kebal 19 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan.

Solskjaer dijangka menggunakan formasi 4-2-3-1 kerana ia memberikan kebebasan kepada Bruno Fernandes merencana gerakan dan serangan buat trio berbahaya The Red Devils iaitu Marcus Rashford, Mason Greenwood serta Anthony Martial.

Sevilla pula pastinya kekal dengan taktikal permainan 4-3-3 dan kemudiannya berubah kepada 4-5-1 apabila hilang penguasaan bola yang sering diterapkan pengendali pasukan itu, Julen Lopetegui sepanjang musim ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI