fbpx

Pentagon tubuh pasukan siasat UFO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMEJ tangkap layar satu objek UFO yang dirakam juruterbang Tentera Laut AS pada 28 April lalu. – JABATAN PERTAHANAN AS/ AFP

WASHINGTON – Pentagon kelmarin mengesahkan pihaknya akan menubuhkan satu pasukan petugas baharu di bawah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan penemuan atau penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO).

Jabatan Pertahanan berharap dengan penubuhan Pasukan Petugas Fenomena Udara Tidak Dikenal Pasti (UAPTF), ia dapat membantu ‘meningkatkan pemahaman dan memperoleh maklumat lebih jelas berhubung sifat serta asal usul UAP’, menurut jurucakap Susan Gough dalam satu kenyataan.

Tentera AS sebenarnya lebih bimbang tentang ‘fenomena udara tidak dikenal pasti’ yang mempunyai kaitan dengan musuh di Bumi berbanding pencerobohan makhluk asing.

Washington secara khususnya lebih bimbang terhadap keupayaan pengintipan China, menggunakan peranti dron dan objek penerbangan lain.

“Misi pasukan petugas khas ini adalah untuk mengesan, melakukan analisis dan membuat katalog UAP yang mungkin membawa potensi ancaman kepada keselamatan AS,” kata Gough.

Beliau menjelaskan, Pentagon melihat sebarang pencerobohan oleh mana-mana pesawat terbang tanpa kebenaran ke kawasan latihan atau ruang udara yang dilindungi sebagai perbuatan amat serius dan akan meneliti setiap laporan diterima.

“Ini termasuk penilaian terhadap laporan pencerobohan awal sebagai UAP pada ketika peninjau gagal mengenal pasti apa yang dilihat pada waktu kejadian,” tambahnya.

Timbalan Setiausaha Pertahanan, David Norquist meluluskan penubuhan pasukan petugas khas itu pada 4 Ogos lalu.

Jawatankuasa Risikan Senat AS pada Jun lalu menyatakan pihaknya mahu menyelaras satu program Pentagon UFO sekali gus mengesahkan kewujudan satu kumpulan bekerja tidak rasmi yang pernah didedahkan akhbar New York Times pada 2017.

Pada Disember 2017, Pentagon mengesahkan pembiayaan satu program rahsia bernilai berjuta-juta dolar untuk menyiasat penampakan UFO walaupun menyatakan ia tamat pada 2012.

Pentagon pada April lalu secara rasminya berkongsi tiga klip video yang dirakam juruterbang Tentera Laut AS menunjukkan penemuan objek dipercayai UFO semasa berada di ruang udara.

Klip rakaman berwarna hitam putih itu bocor dan Tentera Laut AS mengesahkan video itu adalah milik mereka. Salah satu video itu dirakam pada November 2004 dan dua lagi pada bulan Januari 2015. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI