fbpx

Mayat isteri di dalam tangki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH tangki air yang menjadi tempat simpanan mayat seorang wanita diletakkan di atas sebuah trak pikap di KalimantanTimur, Indonesia. – TRIBUN NEWS

JAKARTA – Polis menemui mayat seorang wanita di dalam sebuah tangki air di Kampung Linggang Amer di Kutai Barat, Kalimantan Timur di Indonesia kelmarin, lapor portal berita Tribun News.

Ketua Polis Kutai Barat, Asisten Komisioner Roy Satya Putra berkata, mayat wanita itu disimpan suami mangsa selepas dia meninggal dunia akibat satu penyakit yang tidak didedahkan.

“Wanita malang itu dipercayai diletakkan di dalam tangki air tersebut oleh suaminya, namun kita masih belum mengetahui motif sebenar perbuatan itu.

“Mayat mangsa ditemui di rumah mangsa pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan) hari ini (kelmarin),” katanya.

Kejadian tersebut terbongkar selepas jiran mangsa ingin menziarahi wanita itu yang sedang sakit di rumahnya, namun suspek memberitahu, isteri sudah meninggal dunia dan enggan menunjukkan lokasi mayatnya.

“Apabila mendengar jawapan lelaki tersebut, penduduk kampung terus memberitahu ketua kampung sebelum melaporkan perkara tersebut kepada polis.

“Polis ke rumah mangsa dan menyoal siasat suami tersebut sebelum dia mengakui isterinya sudah meninggal dunia sejak lima hari lalu akibat sakit,” ujarnya.

Hasil siasatan mendapati, lelaki tersebut berbuat demikian kerana enggan berjauhan dengan isteri dan mengakui menyimpan mayat mangsa di dalam tangki berkenaan dengan bantuan anak lelaki mereka.

“Polis berjaya membawa keluar mayat mangsa dari tangki tersebut sebelum dibawa ke Hospital Daerah Harapan Insan Sendawar untuk dibedah siasat.

“Polis masih lagi menyiasat kes ini dan suami mangsa sudah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, kejadian tersebut menggemparkan penduduk setempat yang mendakwa kematian mangsa dianggap pelik oleh keluarganya disebabkan suami wanita berkenaan dikatakan mengamalkan amalan khurafat. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI