Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
KLANG – Seorang kontraktor warga emas maut selepas motosikal ditunggangi dilanggar dari belakang sebelum tercampak lalu digilis kenderaan di Lebuhraya Selat Klang Utara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.47 pagi, mangsa berusia 62 tahun warga Indonesia yang bertaraf pemastautin tetap meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Honda City berusia 22 tahun mengubah laluan dari lorong kanan ke kiri sebelum melanggar belakang motosikal jenis Honda Wave ditunggangi mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak mengenai cermin hadapan sebelah kanan Honda City sebelum terjatuh di lorong paling kanan.
“Sebuah kenderaan jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 27 tahun dari arah belakang tidak sempat mengelak dan menggilis mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nurulhuda menambah, mangsa parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE