fbpx

Kepercayaan karut punca kepupusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan petugas Perhilitan memeriksa haiwan liar yang dirampas daripada pemburu haram di Johor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Hidupan liar terus menjadi buruan pemburu haram di negara ini kerana masih ramai pihak yang percaya sebahagian haiwan itu boleh digunakan dalam perubatan tradisional selain melambangkan kekayaan seseorang.  

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, gading gajah misalnya menjadi lambang kekayaan serta status elitis bagi masyarakat di China sekali gus menyebabkan permintaan terhadapnya masih berterusan.

Katanya, gading gajah Asia dan Afrika menjadi pilihan utama golongan kaya di China menyebabkan hidupan liar itu semakin kepupusan.

“Pemburu haram dibayar oleh sindiket untuk mendapatkan bahan yang mereka mahu termasuk haiwan yang menjadi rebutan di pasaran gelap di dalam dan luar negara.

“Mereka ini (pemburu) terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mencari keuntungan segera dengan memenuhi permintaan di pasaran gelap di China,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Difahamkan, satu gading gajah dianggarkan seberat antara dua hingga enam kilogram (kg), dan setiap 1 kg dijual dengan harga RM3,300 di pasaran gelap, namun harga ini boleh melonjak mengikut jenis gajah dan kuali­tinya.

Katanya, beberapa haiwan lain seperti rusa, seladang, kijang, tenggiling dan pelanduk juga semakin terancam kerana rakyat tempatan yang gemar menjadikannya sebagai makanan eksotik dan unik terutama pada musim perayaan.

“Sebagai contoh, sesetengah rakyat negara ini percaya makan haiwan tertentu mampu me­nguatkan tenaga batin selain menyembuhkan penyakit seperti lelah dan santau.

“Sama juga di China, mereka gemar makan kelawar, musang dan tenggiling kerana ia dijadikan ubat tradisional,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Konservasi Hidupan Liar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Dr. Pazil Abdul Patah berkata, nilai tinggi hidupan liar dalam pasaran gelap menyebabkan haiwan itu terus diburu.

“Harga binatang itu pula bergantung pada saiz, jantina, usia serta keunikan rasanya. Mi­salnya harga seekor landak boleh mencecah RM1,000,” katanya.

Menurutnya, pelbagai operasi dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kegiatan pemburuan haram serta penyeludupan.

Untuk rekod bagi tahun ini sehingga Jun lalu, sebanyak 33 kes tangkapan jenayah hidupan liar dilakukan melibatkan 27 rakyat tempatan dan enam warga asing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI