PASUKAN Kelantan terpaksa mengambil langkah melepaskan beberapa pemain termasuk bintang muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat bagi meringankan beban hutang yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini.
Perkara tersebut diluahkan oleh Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman yang mengakui pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pasukan yang berminat tetapi perlulah mengikut syarat yang ditetapkan.
Kata Husin, ramai pemain muda berbakat Kelantan masih memiliki kontrak sehingga musim 2021 termasuk Nik Akif yang sedikit istimewa kerana klausa penebusan kontraknya adalah bernilai RM1 juta.
“Kami sedia maklum ada beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain Kelantan khususnya bintang muda seperti Nik Akif.
“Justeru, KAFA sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang mahu menandatangani pemain kami memandangkan mereka masih memiliki kontrak sehingga tahun depan.
“Malah, kontrak mereka juga memiliki klausa yang perlu ditebus tetapi hanya kontrak Nik Akif bernilai RM1 juta, manakala pemain lain kurang daripada jumlah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Difahamkan, KAFA kini memiliki tanggungan hutang lebih daripada RM6 juta selain gagal melunaskan gaji pasukan yang tertunggak sejak Mac lepas ekoran masalah aliran tunai.
Nik Akif yang baru berusia 21 tahun pula boleh dikatakan antara prospek besar bola sepak negara kerana sering dipanggil mewakili skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan sejak beberapa tahun lalu.
Antara pemain muda lain yang menyerlah adalah Muhd. Danial Ashraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Afiq Saluddin dan Mohd. Khairul Rizam Che Soh.