LISBON – Bek kanan Bayern Munich, Joshua Kimmich percaya kemenangan 8-2 ke atas Barcelona pada suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam membuktikan mereka serius mahu bergelar juara musim ini.
Kimmich menganggap pesta gol di Estadio Da Luz itu adalah sesuatu yang kejam dilakukan ke atas pasukan berprestij Eropah seperti Barcelona.
“Saya boleh katakan aksi pasukan kali ini cukup ‘brutal’. Kami sendiri tidak percaya mampu menjaringkan lapan gol ke atas Barcelona.
“Kami akan lebih mengganas di peringkat separuh akhir nanti,” katanya.
Sementara itu, Thomas Muller yang meledak dua gol ke atas Barcelona, turut senada dengan Kimmich apabila menyifatkan tahap keyakinan tinggi para pemain selain taktikal permainan yang berhasil adalah kunci kepada kemenangan tersebut.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika ini tetapi salah satu faktor kejayaan kami adalah momentum pemain dan semangat pasukan untuk melakar kejayaan dalam kejohanan ini,” jelasnya. – AGENSI