PRAGUE, REPUBLIK CZECH – Impian Eugenie Bouchard untuk melangkah ke peringkat separuh akhir pada Terbuka Prague tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain pilihan ketiga, Elise Mertens dengan keputusan 6-4, 1-6, 6-4 semalam.
Mertens meraih kemenangan pada set pertama dengan prestasi cukup meyakinkan, namun pemain dari Kanada yang berada di ranking 330 dunia, Bouchard cuba mengimbangi perlawanan apabila tampil mendominasi di set kedua.
Bouchard yang turun selaku pemain wildcard selepas berdepan kecederaan awal tahun lalu dilihat mempamerkan aksi yang cukup baik tetapi ia belum mampu mengatasi Mertens pada set ketiga dalam pertarungan yang mengambil masa 2 jam 18 minit.
“Bouchard tampil dengan perlawanan yang cukup agresif dan membuatkan saya terpaksa bekerja keras. Pukulan servis cukup baik dan memaksa saya berlari ke hujung gelanggang.
“Pujian harus diberikan kepada Bouchard apabila mempamerkan perlawanan yang betul-betul mencabar terutama dari segi mental dan fizikal,” kata Mertens.
Atlet Republik Czech, Kristyna Pliskova melangkah ke separuh akhir selepas atlet Romania, Ana Bogdan menarik diri pada set pertama perlawanan. Simona Halep turut melangkah ke pentas separuh akhir selepas menumbangkan Magdalena Frech 6-2, 6-0. – AGENSI