KOTA BHARU – Sepasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa menemui tujuh fosil tapak kaki dinosaur spesies Sauropod berusia 65 hingga 160 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah.
Penemuan fosil tersebut merupakan hasil kajian ekplorasi geosains diketuai Pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar dan dibantu Profesor Surono Martosuwito, Profesor Udi Hartono serta Mohd. Syakir Sulaiman.
Menurut Arham Muchtar, penemuan fosil itu berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang dijumpai sebelum mendapat pengesahan pakar Dinosaur Dunia dari Jepun.
Katanya, ia membuktikan bahawa dinosaur itu pernah hidup di Tanah Merah, Kelantan berjuta tahun lalu.
“Kami menemui tujuh tapak kaki fosil spesies Sauropod berukuran purata 72 sentimeter panjang dan purata lebar 66 sentimeter. Ia ditemui bercetak di atas Batu Pasir Kuarsa dari Formasi Panau seluas 60 meter persegi.
“Berdasarkan keadaan tapak kaki itu, kita menjangkakan dinosaur tersebut memiliki tubuh yang besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 sehingga 40 tan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, Sauropod yang merupakan reptilia berkaki empat itu juga dikenal pasti sebagai haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi dan tergolong dalam spesis herbavivor iaitu hidupan yang memakan tumbuh-tumbuhan.
Arham Muchtar berkata, pihaknya menjangkakan fosil yang ditemui itu berusia antara 65 juta hingga 160 juta tahun lepas iaitu pada kala Jura akhir sehingga Kapur awal.
“Berdasarkan keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau, kami mendapati bahawa Sauropod ini hidup pada persekitaran daratan khususnya di sekitar sungai berliku.
“Sehingga kini kami belum dapat menentukan spesies Sauropod ini kerana data yang diperlukan masih belum mencukupi. Ini adalah salah satu penemuan daripada banyak penemuan lain hasil aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang kami laksanakan di Kelantan,” katanya.
Jelasnya, aktiviti penyelidikan dan pencarian dinosaur di kawasan itu telah dilakukan sejak empat tahun lalu dan pihaknya telah melaksanakan beberapa kajian melibatkan penyelidik tempatan dan luar negara.
Arham Muchtar menambah, aktiviti dan penyelidikan itu telah bermula pada Mei 2017 dan telah berjaya menemukan fosil tapak dan laluan trek dinosaur daripada subgrup Sauropod.
Katanya, kewujudan dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka berdasarkan keadaan geologi yang dapat dikaitkan dengan beberapa kawasan di Selatan Thailand yang mengandungi fosil dinosaur.
“Kejayaan ini amat bermakna bagi UMK terutamanya dengan penubuhan Jabatan Geosains.
“Para penyelidik telah menghabiskan masa selama lebih 10,000 jam untuk menyiasat dan menjejak dinosaur di Kelantan,” katanya.
Beliau berharap, semua pihak dapat memberi kerjasama bagi meneruskan kajian tersebut selain percaya masih terdapat beberapa jenis fosil dinosaur yang masih tersimpan dalam batuan di Bukit Panau.